DNB, Meta tubuh makmal inovasi bersama di Malaysia

KUALA LUMPUR: Digital Nasional Bhd (DNB), pengendali rangkaian 5G Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan Meta, syarikat teknologi global untuk menubuhkan makmal inovasi bersama di Malaysia.

Kedua-dua pihak kini sedang bekerjasama untuk memuktamadkan terma kerjasama yang dicadangkan dan makmal inovasi itu akan memberi tumpuan kepada kemajuan dalam meningkatkan kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi masa nyata (RTC) di platform media sosial dan pemesejan Meta, dengan memanfaatkan keupayaan rangkaian 5G.

Kerjasama itu juga akan menekankan keperluan kritikal untuk menyediakan sambungan suara dan video yang lancar serta berkualiti tinggi kepada pengguna, bagi memastikan mereka menikmati pengalaman terbaik.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif, makmal inovasi bersama itu bertujuan untuk mengoptimumkan prestasi rangkaian dan membangunkan teknologi canggih bagi meningkatkan kualiti RTC.

Objektif utama makmal itu termasuk membangunkan penyelesaian inovatif untuk mengoptimumkan kualiti RTC dan meningkatkan teknik pengoptimuman rangkaian untuk mengurangkan latensi serta meningkatkan kadar bit bagi komunikasi yang lebih lancar.

Selain itu, ia juga akan memperbaiki pengalaman pengguna keseluruhan bagi pelanggan rangkaian 5G DNB melalui kejelasan panggilan yang lebih baik dan kebolehpercayaan lebih tinggi.

Ketua Pegawai Teknologi DNB, Ken Tan, berkata syarikat teruja untuk bekerjasama dengan Meta bagi menubuhkan makmal inovasi bersama itu di Malaysia.

“Dengan usaha sama ini, kami dapat mendorong inovasi dan menyampaikan kualiti perkhidmatan yang tiada tandingan kepada pelanggan operator rangkaian mudah alih kami serta pengguna akhir mereka.

“Kerjasama ini mengukuhkan komitmen kami terhadap kecemerlangan rangkaian dan inovasi berterusan yang berfokuskan kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengumuman itu dibuat di Pavilion Malaysia semasa acara Mobile World Congress 2025, menekankan kepentingan strategik kerjasama ini.

Sementara itu, Naib Presiden Kejuruteraan Rangkaian Meta, Vinod S, berkata kerjasama yang dicadangkan dengan DNB membolehkan syarikat meningkatkan pengalaman pengguna.

“Kami komited untuk memacu inovasi dalam rangkaian mudah alih dan menantikan kerjasama berterusan dengan ekosistem kesalinghubungan di Malaysia serta membuktikan dedikasi kami dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan komunikasi masa nyata di platform kami.

“Dengan memanfaatkan kemajuan terkini dalam teknologi 5G, inisiatif ini dijangka memberikan impak besar terhadap landskap digital di Malaysia, sekali gus mewujudkan persekitaran komunikasi yang lebih cekap dan saling terhubung,” katanya.

Sumber: BH Online