Ekonomi Malaysia perlu pemangkin baharu tarik pelaburan asing – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang tahun ini, namun memerlukan pemangkin baharu bagi merancakkan pasaran dan menarik aliran masuk pelaburan asing, menurut penganalisis.

Penganalisis CIMB Securities, Ivy Ng Lee Fang, berkata unjuran pertumbuhan pendapatan korporat kekal positif pada kadar 8.0 peratus bagi 2025, menandakan pertumbuhan untuk tahun ketiga berturut-turut.

Katanya, kecairan domestik yang kukuh turut menyokong pertumbuhan ini, didorong oleh kenaikan gaji minimum bermula Februari 2024 serta cadangan kerajaan memperkenalkan caruman wajib dua peratus kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing, yang dipadankan dengan caruman dua peratus daripada majikan.

“Selain itu, ringgit dijangka mengukuh kepada RM4.40 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus berpotensi menyokong aliran masuk dana asing,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.


Bagaimanapun, Lee Fang menekankan keperluan kepada pemangkin baharu bagi mengukuhkan daya tarikan pasaran ekuiti tempatan dan memastikan aliran masuk dana asing lebih mampan.

Dari segi risiko, beliau berkata, antara cabaran utama adalah perang perdagangan global serta peningkatan kos operasi akibat beberapa perubahan dasar kerajaan.

“Ia termasuk kenaikan gaji minimum yang berkuat kuasa Februari 2024, peningkatan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada Mei, serta kemungkinan pelaksanaan subsidi bahan api bersasar pada pertengahan 2025,” katanya.

Mengulas mengenai dasar tarif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, beliau berkata, ia boleh memberikan kelebihan kepada Malaysia jika berlaku peralihan perdagangan dan pelaburan akibat ketegangan dagangan.

“Namun, dalam jangka sederhana, ketegangan perdagangan yang berpanjangan boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi Malaysia yang bergantung kepada eksport.

“Analisis sensitiviti kami menunjukkan bahawa kelembapan satu peratus dalam pertumbuhan global boleh mengurangkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 1.3 mata peratusan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) sebenar sebanyak 39.3 peratus kepada RM29.1 bilion setakat sembilan bulan pertama 2024 menandakan kebangkitan semula aktiviti pelaburan di negara ini.

Dari segi dasar monetari, CIMB Securities menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) sepanjang 2025 walaupun berdepan tekanan inflasi yang dijangka meningkat.

“Firma penyelidikan ini juga menjangkakan ringgit akan meningkat secara sederhana kepada RM4.40 berbanding dolar AS menjelang akhir 2025.

“Namun, ketegangan perdagangan yang semakin meningkat serta kemungkinan penyusutan nilai yuan, seperti yang berlaku dalam fasa pertama perang perdagangan AS-China pada 2018-2019, boleh membawa risiko ke bawah kepada mata wang tempatan,” katanya.

Justeru, katanya, usaha bersepadu untuk menggalakkan pemulangan hasil eksport dan pendapatan pelaburan oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), selain reformasi struktur yang lebih luas, dijangka dapat mengurangkan kerentanan ringgit terhadap risiko luaran.

Sumber: BH Online