Ekonomi tahun lalu kukuh, namun risiko penyederhanaan tahun ini – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.1 peratus pada 2024, namun terdapat risiko penyederhanaan memasuki suku pertama 2025 berikutan ketidaktentuan global yang berterusan, kata penganalisis.

TA Securities berkata, meskipun ekonomi negara menunjukkan prestasi memberangsangkan tahun lalu, prospek 2025 dijangka berdepan cabaran, terutama susulan pemulihan ekonomi China yang masih perlahan serta ketegangan perdagangan global yang meningkat.

“Malaysia sangat bergantung kepada rakan dagang utama seperti China dan Amerika Syarikat (AS). Risiko luaran ini boleh memberi impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam nota penyelidikannya.

TA Securities menyifatkan tinjauan bagi suku pertama 2025 masih samar berikutan data tersedia yang terhad. Namun, laporan S&P Global menunjukkan bahawa walaupun pertumbuhan ekonomi menyederhana, ia kekal dalam wilayah positif.

“Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) merekodkan 48.7 mata pada Januari, menunjukkan sedikit peningkatan berbanding bulan sebelumnya. Walaupun bacaan ini di bawah 50, kami menjangkakan peningkatan berterusan dalam angka pengeluaran pembuatan rasmi,” katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2025 pada 4.8 peratus, dengan mengambil kira momentum permintaan domestik yang stabil serta keadaan luaran yang tidak berubah secara drastik.

TA Securities turut menjelaskan bahawa perbezaan kecil dalam prestasi KDNK suku keempat 2024 berbanding unjuran awalnya sebanyak 4.7 peratus mendorong ramalan pertumbuhan 2025 ke bahagian bawah julat sasaran, iaitu antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus.

“Sebelum ini, kami menjangkakan pertumbuhan akan stabil sekitar 5.1 peratus, namun perkembangan terkini menunjukkan kemungkinan KDNK boleh mencecah serendah 4.8 peratus,” katanya.

Sementara itu, CGS International berkata, pertumbuhan KDNK yang kukuh pada suku keempat 2024 disokong oleh lonjakan eksport pada Disember, yang berkembang sebanyak 16.9 peratus berbanding 3.9 peratus pada November.

“Trend ini dipercayai didorong oleh muatan hadapan eksport menjelang kepulangan Donald Trump ke Rumah Putih. Eksport Disember melonjak 14.8 peratus tahun ke tahun, dengan peningkatan 8.5 peratus bulan ke bulan,” katanya.

Bagaimanapun, CGS International menjangka pertumbuhan eksport Malaysia akan mula menyederhana pada separuh kedua 2025 susulan pelaksanaan tarif baharu AS.

“Setakat ini, Trump telah mengenakan tarif ke atas Mexico, China, dan Kanada berkuat kuasa 4 Februari 2025, selain tarif 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium berkuat kuasa 4 Mac 2025.

“Jika defisit perdagangan AS terus meningkat, kemungkinan lebih banyak tarif akan diperkenalkan. Namun, Malaysia mungkin mendapat manfaat sekiranya penstrukturan semula rantaian bekalan global berpihak kepada negara ini,” katanya.

CGS International turut mengunjurkan eksport Malaysia berkembang 3.0 peratus pada 2025, lebih perlahan berbanding 5.7 peratus pada 2024. Keputusan perdagangan bagi Januari 2025 akan diumumkan pada 20 Februari, yang dijangka memberi gambaran lebih jelas mengenai hala tuju ekonomi negara.

Sumber: BH Online