Ringgit, rupiah terajui kenaikan mata wang Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Mata wang rupiah Indonesia mencatatkan kenaikan tertinggi dalam kalangan mata wang Asia Tenggara pada Jumaat, susulan pengumuman Presiden Indonesia mengenai penubuhan dana pelaburan milik kerajaan baharu, manakala ringgit Malaysia kekal kukuh selepas data pertumbuhan ekonomi tempatan yang lebih baik daripada jangkaan.

Pasaran tukaran asing Asia menerima rangsangan apabila dolar Amerika Syarikat (AS) melemah berikutan kebimbangan terhadap tarif timbal balik yang dicadangkan oleh Presiden AS, Donald Trump, reda, memberi ruang kepada rundingan lanjut.

Di Indonesia, Presiden Prabowo Subianto mengumumkan bahawa dana kekayaan negara baharu akan mula beroperasi bulan ini dengan anggaran aset sebanyak AS$900 bilion, bertujuan meningkatkan kadar pertumbuhan tahunan kepada sasaran lapan peratus. Susulan itu, rupiah mengukuh 0.5 peratus berbanding dolar AS, manakala pasaran saham di Jakarta meningkat 0.1 peratus.

“Peningkatan rupiah didorong oleh rancangan penubuhan dana kekayaan negara oleh Presiden Prabowo, sementara kelewatan dalam pelaksanaan tarif AS turut menyokong kenaikan mata wang negara yang bergantung kepada perdagangan seperti ringgit,” kata Ketua Strategi Makro Asia di Sumitomo Mitsui Banking Corporation, Jeff Ng.

Sementara itu, ringgit naik 0.3 peratus selepas data menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang lebih pantas daripada jangkaan pada suku keempat tahun lalu. Bagaimanapun, pasaran saham tempatan menyusut 0.2 peratus.

Dolar Singapura kekal stabil dengan sedikit penyusutan 0.1 peratus selepas data menunjukkan ekonomi negara itu mencatat pertumbuhan lebih kukuh pada akhir 2024. Situasi ini meletakkan kerajaan dalam kedudukan lebih baik untuk menangani ketidaktentuan global serta kebimbangan kos sara hidup menjelang pilihan raya. Singapura juga dijangka membentangkan belanjawannya minggu depan, yang akan memberi tumpuan kepada isu kos sara hidup dan peluang pekerjaan.

Di Thailand, pasaran saham merosot 0.5 peratus selepas Bank Dunia mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara itu untuk 2025, dengan alasan peningkatan kos boleh menjejaskan pelaksanaan dasar fiskal yang lebih meluas.

Dalam pasaran lain, saham Korea Selatan menambah 0.3 peratus, sementara pasaran saham China meningkat 0.4 peratus. Sebaliknya, pasaran saham di Taipei, Bangkok dan Singapura mencatatkan penurunan antara 0.2 hingga 1.1 peratus. – Reuters

Sumber: BH Online