Proton e.MAS 7 dapat sambutan hangat, EV paling laris di Malaysia

KUALA LUMPUR: Proton e.MAS 7 muncul kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia dengan 25 peratus bahagian pasaran.

Proton e.MAS 7, yang dilancarkan secara rasmi pada 16 Disember lalu berikutan kempen publisiti yang menyeluruh, telah mendapat sambutan hangat daripada bakal pembeli EV.

Dengan tempahan semasa yang melebihi 4,000 unit, sebanyak 3,000 unit tambahan kini ditawarkan dengan pakej manfaat pelancaran.

Penghantaran kepada pelanggan kini telah bermula, berikutan ketibaan kereta terbabit pada awal tahun ini.

Dalam bulan pertama operasinya, sebanyak 421 unit SUV EV segmen-C itu berjaya diserahkan kepada pelanggan.

Pencapaian ini meletakkan model itu sebagai EV paling laris di Malaysia dengan penguasaan 25 peratus pasaran EV keseluruhan bagi bulan Januari.

Melalui 30 cawangan Proton e.MAS yang kini beroperasi, unit-unit e.MAS 7 telah diserahkan kepada pemilik.

Lebih 80 peratus daripada tempahan yang diterima adalah bagi model Premium dan dijangkakan akan terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang seiring dengan ketibaan lebih banyak unit dan pembukaan cawangan-cawangan baharu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Zhang Qiang, berkata dalam masa sebulan sahaja, Proton e.MAS 7 telah memimpin jualan EV, membuktikan bahawa rakyat Malaysia sedia beralih kepada kenderaan elektrik sekiranya produk dan harga yang ditawarkan menarik.

“Dalam menggunakan teknologi canggih yang digabungkan dengan platform serba baharu dalam pakej praktikal, PROTON dapat menawarkan produk yang boleh bersaing dengan jenama-jenama lain sambil memberikan nilai dan khidmat selepas jualan yang tiada tandingan dalam segmennya kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

PROTON mencatatkan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 9,914 unit pada Januari 2025, berbanding dengan 12,882 unit pada bulan sama tahun lalu.

Berdasarkan anggaran TIV, bahagian pasaran PROTON diramalkan 19.7 peratus, meningkat daripada 18.7 peratus pada tahun lalu.

Selain Proton e.MAS 7 yang mengakhiri bulan pertama jualannya sebagai EV paling laris di Malaysia, PROTON turut mencatatkan peningkatan jumlah eksport sebanyak 86.9 peratus berbanding tahun lalu, dan tiga model kereta memulakan tahun ini sebagai pemimpin jualan segmen masing-masing.

Proton Saga turut menjadi model paling terlaris bagi syarikat pada Januari, dengan jumlah keseluruan 4,597 unit.

Proton Persona, sedan segmen-B, dan Proton Iriz, ‘hatchback’ segmen-B, masing-masing menyumbang 1,221 dan 291 unit.

Sementara itu, Proton X50 mendahului jualan segmen dengan 1,436 unit, diikuti Proton X90 dengan 203 unit, dan Proton S70 dengan 1,143 unit.

Ini bermakna, model-model PROTON ini memulakan tahun dengan kedudukan teratas dalam kategori kenderaan utilitik sukan (SUV) segmen-B, SUV segmen-D dan sedan segmen-C.

Proton X70, model SUV ketiga, mengekalkan prestasi jualan yang kukuh dengan 576 unit terjual pada bulan Januari.

Sumber: BH Online