KUALA LUMPUR: Industri penternakan ayam negara dijangka kekal berdaya tahan dalam jangka sederhana, namun kebergantungan tinggi terhadap bahan makanan ternakan import terus menjadi cabaran utama kepada pengeluar, terutama apabila harga komoditi global meningkat.
MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) berkata, prospek industri berkenaan kekal positif, disokong permintaan domestik yang stabil terhadap ayam dan telur sebagai sumber protein utama pada harga berpatutan, selain asas pengeluaran tempatan yang kukuh.
Bagaimanapun, bank pelaburan itu berkata, kebergantungan terhadap bahan makanan ternakan import, khususnya jagung dan hampas kacang soya, menyebabkan pengeluar terdedah kepada ketidaktentuan harga bijirin global, pergerakan kadar pertukaran asing, kos pengangkutan serta perubahan iklim di negara pengeksport utama.
Dalam nota penyelidikan hari ini, MBSB IB berkata, jagung dan hampas kacang soya menyumbang kira-kira 70 peratus daripada kos makanan ternakan ayam, sekali gus menjadikan perubahan harga kedua-dua bahan itu antara faktor utama yang mempengaruhi keuntungan penternak.
Katanya, tekanan terhadap margin keuntungan akan meningkat apabila kos makanan ternakan melonjak lebih pantas berbanding harga jualan ayam, terutama bagi pengusaha kecil yang mempunyai keupayaan kewangan dan operasi lebih terhad.
MBSB IB berkata, pengeluar bersepadu mempunyai kelebihan dalam menangani cabaran berkenaan menerusi operasi berskala besar, keupayaan mendapatkan bekalan pada harga lebih kompetitif, strategi lindung nilai serta kawalan lebih menyeluruh terhadap rantaian pengeluaran.
“Dalam jangka panjang, pelaburan seterusnya dalam pengeluaran bahan makanan ternakan tempatan, automasi penternakan, kapasiti pembiak baka dan produk nilai tambah berpotensi meningkatkan daya tahan industri dan mengurangkan turun naik pendapatan,” menurutnya.
Dari segi keupayaan pengeluaran, bank pelaburan itu berkata, Malaysia mempunyai asas bekalan domestik yang kukuh dengan kadar sara diri ayam dianggarkan antara 91 hingga 93 peratus, manakala pengeluaran telur melebihi keperluan tempatan, iaitu sekitar 107 peratus.
Bagaimanapun, tahap pengeluaran berkenaan tidak menghapuskan risiko kos kerana Malaysia masih hampir sepenuhnya bergantung kepada import jagung dan hampas kacang soya sebagai bahan utama makanan ternakan.
Menurut MBSB IB, sasaran Dasar Agromakanan Negara 2.0 untuk meningkatkan kadar sara diri ayam kepada 140 peratus menjelang 2030 membuka peluang pelaburan baharu dalam industri penternakan negara.
Antara bidang yang berpotensi menerima pelaburan ialah ladang pembiak baka, pusat penetasan, kilang makanan ternakan, kemudahan pemprosesan serta pembangunan infrastruktur rantaian sejuk bagi menyokong peningkatan kapasiti pengeluaran.
Selain itu, pengeluaran bahan makanan ternakan tempatan, penggunaan teknologi penternakan moden dan pembangunan produk makanan halal bernilai tambah turut dikenal pasti sebagai peluang untuk mengukuhkan daya saing industri serta menyokong pertumbuhan eksport.
MBSB IB berkata, industri penternakan ayam juga lebih terdedah kepada perubahan dasar kerajaan berbanding kebanyakan sektor barangan pengguna lain, memandangkan ayam dan telur merupakan makanan ruji yang mempunyai kepentingan langsung kepada pengguna.
“Apabila inflasi makanan meningkat, aspek kemampuan pengguna untuk membeli makanan menjadi keutamaan.
“Langkah dasar Malaysia sepanjang 2022 hingga 2023 menggabungkan harga siling runcit dengan subsidi pengeluar, menyebabkan harga jualan domestik tidak seiring dengan kos input yang ditentukan oleh pasaran global,” menurutnya.
Bank pelaburan itu berkata, ketidakseimbangan antara harga jualan dan kos pengeluaran berpotensi menjejaskan keputusan perniagaan penternak, khususnya pengusaha kecil yang lebih terdedah kepada tekanan kewangan.
Katanya, apabila kos meningkat dan keuntungan semakin terhad, pengusaha kecil mungkin memilih untuk mengurangkan bilangan anak ayam yang diternak, menangguhkan rancangan pengembangan atau menghentikan operasi sepenuhnya.
Keadaan itu boleh menyebabkan bekalan ayam domestik menjadi terhad kerana pengeluar tidak dapat meningkatkan pengeluaran serta-merta bagi memenuhi permintaan pasaran.
MBSB IB menjelaskan, peningkatan pengeluaran memerlukan tempoh tertentu kerana industri perlu melalui beberapa peringkat, termasuk pembiakan, penetasan telur dan proses penternakan sebelum ayam dapat dipasarkan. – Bernama