KUALA LUMPUR: Penyertaan Malaysia dalam pameran perdagangan SEMICON West 2026 di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) berjaya meraih potensi eksport bernilai RM453 juta (AS$110 juta) pada acara utama industri semikonduktor itu, menjadi nilai tertinggi yang pernah dicatatkan sejak penyertaan pertama Malaysia pada 2007.
Kejayaan itu dicapai menerusi penyertaan 10 syarikat Malaysia, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mengetengahkan pelbagai produk serta penyelesaian dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Abu Bakar Yusof, berkata pencapaian berkenaan mencerminkan permintaan antarabangsa yang kukuh terhadap keupayaan syarikat tempatan, khususnya dalam bidang komponen berketepatan tinggi, fabrikasi logam, penyelesaian antara muka ujian semikonduktor dan peralatan semikonduktor.
Beliau berkata, turut mendapat perhatian ialah keupayaan syarikat Malaysia dalam penghasilan perkakas industri, abah-abah pendawaian, komponen elektrik dan mesin agihan automatik.
“Keupayaan itu membolehkan syarikat tempatan merebut peluang baharu yang didorong perkembangan kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT), teknologi termaju dan automasi industri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, hal itu sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik yang berdaya saing dan boleh dipercayai dalam rantaian bekalan E&E serta semikonduktor global.
Penyertaan Malaysia dalam SEMICON West adalah sebahagian daripada usaha berterusan MATRADE untuk mempercepat pertumbuhan eksport semikonduktor negara, khususnya membabitkan PKS tempatan.
Usaha itu juga bertujuan memperkukuh hubungan perdagangan dan industri dengan Amerika Utara, selain memperluas pasaran eksport, termasuk meneroka peluang di Amerika Latin, Asia Tengah dan Afrika.
Ia juga turut menyokong aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
Kedua-dua inisiatif itu memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan syarikat Malaysia beralih kepada aktiviti bernilai tambah tinggi, memperkukuh keupayaan rantaian bekalan domestik serta memanfaatkan peluang dalam industri elektronik dan semikonduktor global yang semakin berkembang.
Dalam pada itu, MATRADE turut memperkukuh jaringan strategik industri menerusi pertemuan dengan SEMI, organisasi industri semikonduktor yang mempunyai lebih 4,000 syarikat ahli, serta Pejabat Datuk Bandar Phoenix.
Pertemuan berkenaan membuka ruang kepada kerjasama industri yang lebih erat, selain meningkatkan peluang penyertaan syarikat Malaysia dalam ekosistem mikroelektronik dan semikonduktor antarabangsa.
Mengulas cabaran industri semasa, Abu Bakar berkata, ketidaktentuan geopolitik, persaingan global yang semakin sengit serta peningkatan keperluan berkaitan alam sekitar dan kelestarian menuntut syarikat tempatan meningkatkan daya saing.
Beliau berkata, MATRADE akan terus membantu pengeksport dan PKS memperkukuh kesiapsiagaan antarabangsa, membina kerjasama strategik serta meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai global.
“Melalui promosi perdagangan bersasar dan pembabitan industri, MATRADE akan terus membantu syarikat Malaysia merebut peluang baharu serta menyumbang kepada pertumbuhan mampan industri elektronik dan semikonduktor negara,” katanya.