Harga emas susut lebih dua peratus kepada RM566.25 segram minggu ini

NEW YORK: Harga emas meningkat sedikit pada Jumaat tetapi masih menuju penurunan mingguan ketiga berturut-turut apabila jangkaan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) semakin kukuh.

Emas spot naik 0.2 peratus kepada AS$4,324.79 satu aun atau RM566.25 segram, setakat 0020 GMT, namun masih susut lebih dua peratus sepanjang minggu ini.

Niaga hadapan emas AS bagi penghantaran Disember pula turun satu peratus kepada AS$4,364.70 atau RM571.47 segram.

Pelabur kini menunggu data Indeks Harga Pengguna (CPI) AS yang dijadual diumumkan pada 1230 GMT bagi mendapatkan petunjuk lanjut mengenai hala tuju dasar Rizab Persekutuan AS (Fed).

Data pada Khamis menunjukkan Indeks Harga Pengeluar bagi permintaan akhir meningkat 0.4 peratus pada Ogos selepas kenaikan Julai disemak lebih tinggi kepada 0.1 peratus.

Susulan data itu, pedagang meningkatkan pertaruhan bahawa Fed akan menaikkan kadar faedah pada mesyuarat minggu depan, menyebabkan emas spot jatuh hampir dua peratus.

Ketua Strategi Pasaran Kewangan Exness, Wael Makarem, berkata bacaan inflasi yang lebih kukuh daripada jangkaan akan mengukuhkan alasan bagi beberapa siri kenaikan kadar faedah.

“Bacaan yang lebih kukuh daripada jangkaan akan mengukuhkan kes bagi beberapa kenaikan kadar faedah, yang berpotensi mendorong hasil Perbendaharaan dan dolar lebih tinggi serta memberikan tekanan tambahan kepada emas,” katanya.

Beliau berkata ketegangan berterusan di Asia Barat juga boleh terus mempengaruhi emas menerusi jangkaan inflasi yang lebih tinggi.

Walaupun emas lazimnya dianggap sebagai lindung nilai terhadap inflasi, kenaikan kadar faedah sering memberi tekanan kepada logam berharga itu kerana ia tidak menawarkan pulangan faedah.

Dalam perkembangan geopolitik, Houthi yang disokong Iran mengambil alih bandar pelabuhan Mocha di Yemen dan mara di sepanjang pesisir Laut Merah menuju beberapa pulau strategik.

Perkembangan itu berlaku beberapa jam selepas Presiden AS, Donald Trump, berkata beliau menjangkakan perang Iran akan berakhir selepas pilihan raya pertengahan penggal.

Harga minyak turut meningkat dengan kedua-dua penanda aras utama berada di landasan menamatkan minggu di atas paras AS$100 setong buat kali pertama sejak pertengahan Mei.

Bagi logam lain, perak spot susut 0.3 peratus kepada AS$63.39 dan telah kehilangan lebih empat peratus sepanjang minggu ini.

Platinum turun 0.2 peratus kepada AS$1,773.93, manakala paladium susut 0.3 peratus kepada AS$1,278.51.

Kedua-dua logam itu juga mencerminkan penurunan mingguan.

– Reuters

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2026/09/1628690/harga-emas-susut-lebih-dua-peratus-kepada-rm56625-segram-minggu-ini