KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh lagi melihat isu kesihatan semata-mata sebagai soal rawatan apabila rakyat semakin berusia, sebaliknya perlu menjadikannya sebahagian daripada strategi ekonomi negara bagi mengawal kos, mengekalkan produktiviti dan memastikan tenaga kerja kekal berdaya tahan.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah, berkata peralihan Malaysia ke arah masyarakat menua bakal meningkatkan tekanan terhadap sistem kesihatan, khususnya apabila penyakit tidak berjangkit (NCD) menjadi semakin lazim dan kompleks.
Katanya, peningkatan kos itu sudah mula ketara apabila perbelanjaan kesihatan per kapita meningkat lebih sekali ganda daripada RM1,237 pada 2011 kepada RM2,521 pada 2023.
Pada 2023, katanya, jumlah perbelanjaan kesihatan negara mencecah RM84.2 bilion atau 4.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Apabila penduduk kita semakin berusia, kelaziman dan kerumitan NCD akan meningkat, bersama permintaan terhadap rehabilitasi, perkhidmatan geriatrik dan penjagaan jangka panjang.
“Berdasarkan data 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganggarkan NCD memberi beban ekonomi sebanyak RM64.2 bilion setahun,” katanya dalam ucaptama pembukaan Sidang Kemuncak Penjagaan Kesihatan Malaysia 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan merawat penyakit selepas ia berlaku kerana kos ekonomi dan sosial akan terus meningkat seiring perubahan demografi.
Sebaliknya, katanya, sistem kesihatan perlu beralih secara berperingkat kepada pencegahan, pengesanan awal, penjagaan primer yang berkesan serta pengurusan penyakit kronik secara berterusan.
“Pelaburan dalam kehidupan yang lebih sihat bukan saja isu kesihatan, malah menjadi keperluan dari sudut fiskal dan produktiviti,” katanya.
Mohd Shahar berkata, kesihatan perlu dilihat sebagai infrastruktur ekonomi, kerana rakyat yang lebih sihat bukan saja memerlukan kurang rawatan, malah mampu bekerja lebih lama, lebih produktif dan terus menyumbang kepada ekonomi serta masyarakat.
Cabaran itu menjadi semakin penting apabila Malaysia sudah memasuki fasa masyarakat menua pada 2021, apabila penduduk berusia 65 tahun dan ke atas melebihi tujuh peratus, manakala bahagiannya meningkat kepada lapan peratus pada 2025.
Berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia yang dipetik dalam ucapannya, Malaysia dijangka menjadi masyarakat tua menjelang 2048 apabila lebih 14 peratus penduduk berusia 65 tahun dan ke atas.
Namun, katanya, peningkatan usia tidak seharusnya ditafsirkan sebagai berakhirnya sumbangan ekonomi seseorang.
Sebaliknya, kesihatan lebih baik, pembelajaran sepanjang hayat, peluang pekerjaan fleksibel dan amalan tempat kerja mesra usia boleh membolehkan golongan lebih berusia kekal produktif untuk tempoh lebih panjang.
Perubahan demografi itu pada masa sama membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi baharu menerusi ekonomi penjagaan dan ekonomi perak (silver economy), termasuk teknologi bantuan, rehabilitasi serta perkhidmatan penjagaan berasaskan komuniti.
Malaysia juga berpeluang memperkukuh kedudukan dalam pelancongan kesihatan, dengan kira-kira 1.8 juta pesakit antarabangsa direkodkan pada 2025 yang menjana pendapatan RM3.35 bilion, manakala sasaran bagi 2026 ditetapkan RM3.83 bilion.
Mohd Shahar berkata, peluang pertumbuhan berkenaan perlu disokong standard profesional, tenaga kerja berkemampuan dan model pembiayaan yang mampan supaya perkembangan industri tidak mengorbankan kualiti penjagaan.
Dalam masa sama, kecerdasan buatan (AI) perlu dilihat sebagai pemudah cara strategik untuk memperkukuh sistem kesihatan, bukannya sekadar teknologi yang diterima kerana mengikut perkembangan semasa.
Katanya, AI boleh digunakan untuk saringan, sokongan diagnosis, ramalan penyakit dan intervensi kesihatan populasi yang lebih bersasar, selain mengurangkan beban pentadbiran petugas klinikal.
Bagaimanapun, beliau menegaskan penggunaan AI perlu disokong infrastruktur digital, perkongsian data yang selamat, perlindungan privasi, keselamatan siber dan tadbir urus yang kukuh.
“Ukuran kejayaan AI dalam sektor kesihatan akhirnya perlu berdasarkan sama ada teknologi itu mampu memperluaskan akses kepada penjagaan, memelihara kepercayaan dan meningkatkan hasil kesihatan merentas semua kumpulan pendapatan,” katanya.
Beliau berkata, sektor swasta turut mempunyai peranan penting dalam membina kapasiti sistem kesihatan negara, namun pertumbuhan perniagaan perlu bergerak seiring dengan keutamaan kesihatan nasional.
“Penyelesaian dan model perniagaan paling kukuh adalah yang mampu mencapai kedua-dua matlamat iaitu mewujudkan nilai ekonomi mampan serta meningkatkan akses dan hasil kesihatan rakyat,” katanya.