HONOR MagicPad 4 ubah tablet biasa jadi stesen kerja AI

KUALA LUMPUR: Landskap pekerjaan di Malaysia kini sedang melalui satu fasa perubahan yang cukup menarik seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

Negara kita kini mencatatkan peratusan tertinggi di dunia apabila 66 peratus daripada pekerja berpengetahuan (knowledge workers) dikesan menjalankan perniagaan sampingan di samping pekerjaan tetap mereka.

Trend ini bergerak seiring dengan lonjakan ekonomi gig yang menyaksikan lebih tiga juta rakyat Malaysia terlibat dalam sektor berkenaan, sekali gus menjadikan model bekerja secara solo atau ‘solopreneur’ sebagai sebahagian daripada gaya hidup normal.

Bagaimanapun, memikul tanggungjawab yang banyak tidak bermakna seseorang perlu bekerja keras secara keterlaluan. Pendekatan masyarakat kini mula berubah ke arah yang lebih bijak.

Daripada bimbang kedudukan mereka digantikan oleh kecerdasan buatan (AI), golongan profesional kini memilih untuk memanfaatkan teknologi tersebut dengan ‘melantik’ ejen AI peribadi. 

Langkah ini membolehkan tugasan berulang seperti pemantauan data, penyusunan, susulan dan pelaporan berjalan secara automatik, manakala tumpuan manusia diberikan sepenuhnya kepada perkara strategik yang memerlukan pertimbangan manusiawi.

Sebelum ini, usaha untuk mengaktifkan ejen AI secara tempatan (local AI Agent) bukanlah satu tugas yang mudah kerana ia memerlukan pelayan (server) yang sentiasa aktif dan konfigurasi sistem Linux yang rumit.

Namun, kehadiran HONOR MagicPad 4 berjaya melenyapkan segala halangan tersebut dengan menawarkan tablet sistem dwi-OS Android + Linux pertama di dunia. 

Seni bina inovatif ini membolehkan kedua-dua sistem operasi ini berjalan serentak tanpa mengganggu antara satu sama lain. 

Android digunakan untuk urusan harian atau hiburan, manakala Linux menjalankan AI Agent secara senyap di latar belakang. 

Melalui ciri ‘Linux Lab’ yang sudah siap diprapasang, pengguna boleh memasang Open WebUI, menyambungkan model AI dan menetapkan peranan ejen AI untuk memproses data atau menghantar kemas kini berkala ke WhatsApp tanpa perlu dipantau.

Bagi mereka yang bekerja bebas atau menguruskan perniagaan sampingan, makna ‘pejabat’ kini sudah berubah daripada meja statik kepada suasana fleksibel di kafe atau ruang kerja bersama (coworking space).

Di sinilah kelebihan HONOR MagicPad 4 yang hadir dengan rekaan ultra-nipis 4.8mm dengan ketebalan hanya 4.8mm. 

Apabila papan kekunci fizikal dipasang, ia secara automatik bertukar ke ‘PC Mode’ yang memberikan pengalaman persis sebuah komputer sebenar lengkap dengan fungsi tetingkap berbilang (multi-window), menu klik kanan, pintasan Alt+Tab dan sokongan tetikus Bluetooth. 

Dari segi perkakasan, tablet ini dilengkapi skrin OLED bersaiz 12.3 inci beresolusi 3K dengan kadar segar semula 165Hz yang kekal jelas di bawah sinaran matahari, serta disokong oleh lapan pembesar suara berasaskan audio ruang untuk hiburan selepas kerja. 

Dilengkapi bateri gergasi 10,100mAh keseluruhan set peranti ini termasuk papan kekunci dan pensel penggaya mengekalkan profil mobiliti tinggi dengan berat keseluruhan di bawah satu kilogram sahaja.

Malah, baterinya mampu bertahan sehingga lapan jam bagi sesi mesyuarat video berterusan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/teknologi/2026/06/1579827/honor-magicpad-4-ubah-tablet-biasa-jadi-stesen-kerja-ai