KUALA LUMPUR: Malaysia menjangkakan pasaran tenaga global akan mula stabil pada suku ketiga 2026, namun ketidaktentuan harga dan bekalan dijangka terus memberi kesan dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasir, berkata kerajaan terus mengambil langkah bagi mengurangkan impak krisis tenaga global susulan konflik di Iran serta penutupan Selat Hormuz, yang menjadi laluan penting bagi bekalan bahan api dunia.
Beliau berkata, bekalan bahan api negara ketika ini mencukupi sehingga akhir Ogos, manakala kerajaan sedang meneruskan usaha mendapatkan rizab tambahan bagi menjamin kesinambungan bekalan.
Akmal berkata, pasukan petugas khas kerajaan yang ditubuhkan bagi menangani krisis berkenaan telah mengemukakan 120 langkah intervensi, dengan 27 daripadanya telah dilaksanakan sepenuhnya.
Menurutnya, antara langkah berkenaan ialah pelarasan subsidi bahan api serta peluasan bantuan kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Dalam masa sama, kerajaan turut memperhebat usaha memperkukuh sekuriti makanan susulan peningkatan kos input pertanian.
Beliau berkata, kos baja dijangka meningkat antara 15 peratus hingga 20 peratus, manakala harga makanan ternakan diunjurkan naik sekitar lapan peratus.
Akmal berkata, bekalan beras negara ketika ini mencukupi bagi tempoh lima hingga enam bulan, manakala bekalan makanan asas lain seperti ayam, ikan, buah-buahan, susu dan telur mampu menampung keperluan sekurang-kurangnya selama sebulan.
Beliau turut menjelaskan bahawa ekonomi negara dijangka terus disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, dengan kadar inflasi kekal sederhana pada dua peratus pada Mei lalu berbanding 1.9 peratus pada April. – Reuters