KUALA LUMPUR: Perkembangan konflik di Asia Barat berpotensi membentuk tiga senario utama yang boleh menentukan pergerakan harga minyak mentah global, dengan julat harga berbeza bergantung kepada tahap gangguan terhadap bekalan serta laluan perkapalan utama dunia.
MBSB Research dalam satu nota penyelidikan berkata, bagi Senario 1, konflik bersenjata dijangka berlaku dalam tempoh singkat sekitar dua hingga tiga minggu tanpa gangguan berterusan terhadap laluan perkapalan di Selat Hormuz.
“Di bawah senario ini, ketegangan geopolitik dijangka kekal terkawal dan harga minyak mentah berpotensi menyusut semula apabila pasaran mendapat keyakinan bahawa aliran bekalan global tidak terjejas,” katanya.
Sementara itu, Senario 2, yang dianggap sebagai senario buruk sederhana menyaksikan aktiviti ketenteraan yang terhad kepada serangan sasaran terhadap aset strategik dengan tempoh konflik juga sekitar dua hingga tiga minggu.
Bagaimanapun, senario ini turut membabitkan gangguan berterusan atau penutupan berselang-seli laluan perkapalan di Selat Hormuz yang boleh mengekalkan premium risiko geopolitik dalam pasaran minyak mentah.
“Di bawah keadaan ini, harga minyak mentah berkemungkinan kekal tinggi disebabkan premium risiko geopolitik yang berterusan dalam pasaran tenaga,” menurut MBSB Research.
Bagi Senario 3, iaitu senario terburuk yang lebih serius, konflik berlarutan selama beberapa minggu dengan gangguan berterusan terhadap laluan perkapalan di Selat Hormuz.
“Keadaan itu berpotensi menyebabkan gangguan bekalan minyak mentah yang lebih ketara di peringkat global, sekali gus mencetuskan lonjakan harga minyak serta peningkatan tahap penghindaran risiko dalam pasaran kewangan,” katanya.
MBSB Research berkata, ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat susulan serangan terhadap beberapa kemudahan minyak dan gas di rantau itu menyebabkan harga minyak mentah melonjak hampir AS$120 setong sebelum kembali susut kepada sekitar AS$90 setong.
Ia berkata, perkembangan itu mencerminkan betapa sensitifnya pasaran tenaga global terhadap perubahan geopolitik, terutama melibatkan kemudahan eksport strategik serta laluan perdagangan tenaga yang kritikal.
Katanya, antara faktor utama yang meningkatkan kebimbangan pasaran ialah kerosakan terhadap beberapa kemudahan minyak dan gas serta ketidakpastian mengenai tahap sebenar gangguan terhadap kapasiti pengeluaran dan infrastruktur tenaga di rantau berkenaan.
Selain itu, aktiviti ketenteraan di sekitar Selat Hormuz turut meningkatkan risiko kepada rantaian bekalan tenaga global, termasuk kos perkapalan, premium insurans serta cabaran logistik bagi penghantaran minyak mentah.
“Harga minyak mentah kekal tidak menentu sejak beberapa minggu kebelakangan ini selepas serangan ke atas beberapa kemudahan minyak dan gas di Asia Barat, yang pada mulanya melonjakkan harga hampir AS$120 setong sebelum susut semula ke sekitar AS$90 setong,” kata MBSB Research.
Firma penyelidikan itu menjelaskan, walaupun harga telah menyusut daripada paras tertinggi baru-baru ini, tahap ketidaktentuan masih tinggi memandangkan beberapa kemudahan tenaga mengalami kerosakan dan kesan sebenar terhadap infrastruktur masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.
Kira-kira satu perlima daripada perdagangan minyak dunia melalui laluan Selat Hormuz, menjadikannya antara laluan maritim paling penting bagi aliran tenaga global.
Gangguan terhadap laluan itu lazimnya akan meningkatkan premium risiko geopolitik dalam harga minyak mentah serta memberi kesan kepada kos logistik dan rantaian bekalan tenaga.
Berdasarkan perkembangan terkini, MBSB Research berkata, harga minyak mentah dijangka berada dalam julat AS$90 hingga AS$100 setong sekiranya ketegangan geopolitik kekal sederhana dengan gangguan berselang-seli terhadap laluan perkapalan utama.
MBSB Research berkata, keadaan semasa masih berubah-ubah dan tahap keterlihatan terhadap hala tuju harga minyak mentah dalam tempoh terdekat kekal terhad berikutan ketegangan di rantau berkenaan yang masih belum reda sepenuhnya.