Jualan borong, runcit meningkat kepada RM159.8 bilion pada Januari

KUALA LUMPUR: Sektor perdagangan borong dan runcit negara memulakan 2026 dengan prestasi positif apabila mencatatkan jumlah jualan RM159.8 bilion pada Januari lalu, meningkat 7.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pertumbuhan itu disokong terutamanya oleh subsektor perdagangan runcit dan perdagangan borong yang terus menunjukkan pengembangan kukuh.

Beliau berkata, perdagangan runcit merekodkan jumlah jualan RM70.2 bilion, meningkat RM4.1 bilion atau 6.1 peratus berbanding Januari tahun lalu manakala perdagangan borong turut mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan jumlah jualan RM70.8 bilion, naik RM4 bilion atau enam peratus peratus tahun ke tahun.

“Sementara itu, subsektor kenderaan bermotor terus menunjukkan pengembangan yang kukuh dengan jumlah jualan RM18.8 bilion, meningkat RM2.8 bilion bersamaan pertumbuhan 17.3 peratus berbanding Januari tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata prestasi perdagangan runcit banyak dipacu oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 7.9 peratus kepada RM27.5 bilion, disumbangkan oleh kedai runcit, gedung serbaneka dan pasar raya.

Katanya, peningkatan aktiviti runcit turut dipengaruhi oleh cuti persekolahan, sambutan tahun baharu, pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) serta persediaan awal bagi sambutan Tahun Baharu Cina.

Selain itu, katanya jualan runcit di kedai pengkhususan berkembang 5.4 peratus kepada RM14.7 bilion pada Januari 2026, didorong permintaan lebih kukuh bagi produk farmaseutikal, perubatan dan peralatan ortopedik serta barang kemas.

“Jualan runcit bahan api kenderaan pula meningkat 7.0 peratus kepada RM6.5 bilion, manakala jualan runcit peralatan isi rumah naik 3.3 peratus kepada RM7.8 bilion, dipacu pembelian lebih tinggi bagi bahan binaan dan perkakasan, perabot isi rumah serta perkakas dapur,” katanya.

Dalam pada itu, subsektor perdagangan borong turut menunjukkan prestasi kukuh dengan jualan borong barangan isi rumah berkembang 9.4 peratus kepada RM15.2 bilion disumbangkan oleh jualan lebih tinggi bagi barangan pewangi, kosmetik, sabun dan kelengkapan dandanan diri, selain alat tulis, buku, majalah, surat khabar serta barang kemas.

Kumpulan lain-lain pengkhususan jualan borong pula meningkat 4.3 peratus kepada RM25.7 bilion, disokong permintaan tinggi bagi bahan binaan, baja dan produk agrokimia serta kayu balak, kayu bergergaji, papan lapis, venier dan produk berkaitan.

Pertumbuhan turut dipacu oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau yang meningkat 5.8 peratus, didorong peningkatan jualan beras, bijirin lain, tepung dan gula, ikan serta makanan laut lain, selain kopi, teh, koko dan minuman lain.

Bagi subsektor kenderaan bermotor pula, jualan kenderaan bermotor mencecah RM9 bilion, meningkat 25.9 peratus tahun ke tahun. Prestasi kukuh itu disokong kempen promosi awal tahun oleh pengedar automotif serta peningkatan permintaan pengguna menjelang musim perayaan yang lazimnya menggalakkan pembelian kenderaan.

Data Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan sebanyak 64,298 unit kenderaan terjual pada Januari, manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan 67,995 pendaftaran kenderaan dalam tempoh sama.

Selain itu, kumpulan lain yang turut menyumbang kepada pengembangan subsektor ini termasuk jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal yang meningkat 32.7 peratus, diikuti jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor (6.2 peratus) serta penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (9.3 peratus).

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/03/1520395/jualan-borong-runcit-meningkat-kepada-rm1598-bilion-pada-januari