KUALA LUMPUR: Bank Muamalat melakar sejarah apabila melancarkan ATLAS by Bank Muamalat (ATLAS), iaitu bank digital Islamik pertama di Malaysia yang berteraskan keimanan dan selaras dengan gaya hidup moden kini.
Pelancaran ATLAS merupakan satu langkah transformasi besar dalam usaha Bank Muamalat untuk mentakrif semula perbankan Islam, sekali gus menempatkan institusi itu sebagai perintis dalam landskap perbankan digital negara yang semakin berkembang pesat.
Dengan sokongan Platform Perbankan bertenaga kecerdasan buatan (AI) daripada Backbase, ATLAS menawarkan pengalaman perbankan digital yang lengkap dan patuh Syariah kepada orang ramai.
Antara kemudahan yang disediakan termasuklah pendaftaran pengguna yang lebih lancar, integrasi dengan DuitNow, pembiayaan Islamik, serta perkhidmatan yang direka khusus untuk memenuhi keperluan gaya hidup pengguna Muslim.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin, berkata ATLAS bukan sekadar bank digital, sebaliknya merupakan satu penjenamaan semula terhadap kewangan Islamik dalam era moden.
“Ia melambangkan komitmen Bank Muamalat untuk menerajui fasa baharu perbankan Islam yang lebih digital, inklusif dan berteraskan tujuan,” katanya.
Sejak fasa perintisnya, ATLAS telah menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan mempercepatkan pelancaran produk baharu dan meningkatkan kecekapan dalam pengambilan pelanggan menerusi proses ‘onboarding’ yang lebih cekap.
Dalam tempoh terdekat, ATLAS bakal memperluaskan penawaran produknya dengan pengenalan kad debit dan kredit digital, pembiayaan peribadi fleksibel serta akaun pelaburan emas patuh Syariah.
Kesemua produk ini akan disepadukan secara menyeluruh dalam platform digital sedia ada, menjadikan ATLAS antara penyedia perkhidmatan perbankan Islamik digital paling komprehensif di rantau ini.
Platform ini juga akan menawarkan program ganjaran eksklusif yang menghubungkan pengguna dengan pelbagai promosi gaya hidup melalui kerjasama strategik bersama jenama terkenal merentasi pelbagai industri.
Sebelum pelancaran ATLAS, Bank Muamalat turut berdepan cabaran lazim industri yang berkait dengan infrastruktur legasi yang berpecah-pecah.
Namun, dengan sokongan daripada Backbase, cabaran itu berjaya diatasi menerusi platform perbankan modular dan bersatu yang membolehkan Bank Muamalat mempercepatkan pelan transformasi digitalnya dengan lebih pantas dan cekap.
Naib Presiden Serantau Asia Backbase, Riddhi Dutta, berkata pihaknya berbangga kerana dapat merealisasikan visi Bank Muamalat untuk memperkenalkan pengalaman perbankan yang berteraskan Islamik.
“ATLAS merupakan contoh terbaik bagaimana seni bina perbankan yang boleh disesuaikan mampu mempercepat inovasi sambil menyampaikan perkhidmatan yang diperibadikan kepada pelanggan.
“Pelancaran ini juga memperkukuh lagi kehadiran Backbase dalam sektor perbankan Islamik serantau,” katanya.
Backbase kini menyokong lebih daripada 150 bank di seluruh dunia, termasuk institusi kewangan Islam seperti Libyan Islamic Bank, ila Bank, Bank Al Bilad dan Saudi National Bank.
Di rantau Asia Pasifik pula, Backbase menjadi rakan strategik kepada institusi besar seperti BDO Unibank di Filipina, HDFC Bank di India, Techcombank di Vietnam dan MyState Bank di Australia.