SHAH ALAM: I-Bhd, pemaju utama bandar digital nombor satu Malaysia, i-City memperuntukkan RM10 juta bagi melaksanakan sistem kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur robotik di seluruh portfolio hartanahnya yang menjana pendapatan menjelang 2028.
Inisiatif itu menandakan fasa baharu dalam evolusi strategik kumpulan, bermula dengan penambahbaikan sistem berasaskan AI di Mercu Maybank, iaitu menara pejabat korporat setinggi 33 tingkat yang juga berfungsi sebagai ibu pejabat alternatif Maybank di i-City.
Pelaksanaan teknologi itu kemudiannya akan diperluas ke pelbagai sektor utama lain termasuk Wyndham Suites i-City, Wyndham Suites KLCC, Wyndham Garden, DoubleTree by Hilton i-City, pusat beli-belah Central i-City, taman tema City of Digital Lights yang diiktiraf CNN Travel, pusat data Tier-3, tempat letak kereta serta pembangunan kediaman di i-City.
Pengerusi I-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong, berkata langkah itu adalah lanjutan kepada strategi kumpulan untuk ‘menjana nilai daripada tanah’ yang diperkenalkan pada 2024 bagi membuka potensi jangka panjang daripada nilai pembangunan kasar (GDV) RM10 bilion di i-City.
“AI dan robotik adalah sempadan baharu dalam menjana nilai daripada keseluruhan ekosistem kami,” katanya.
Beliau menambah, I-Bhd membuktikan keupayaan menjana pendapatan berulang, dan kini mereka sedang menaik taraf sistem sedia ada kepada sistem pintar yang menjadikan aset lebih cekap dan bersedia untuk masa hadapan.
Inisiatif berkenaan merupakan pelan hala tuju teknologi selama empat tahun (2025-2028) yang akan menyepadukan automasi dalam operasi dalaman serta pengalaman pelanggan, termasuk penyelenggaraan ramalan, pengurusan aliran pelawat dan khidmat robotik dalam ruang komersial, runcit serta hospitaliti.
Sementara itu, Pengarah Bukan Eksekutif (Bukan Bebas) I-Bhd, Datuk Eu Hong Chew, berkata syarikat giat memperkenalkan penggunaan robot dan AI dalam operasi harian serta meneliti kaedah terbaik untuk menawarkan teknologi ini terus kepada pengguna.
“Ia bukan untuk menggantikan manusia, tetapi untuk membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih mudah dan cekap.
“Kami melihat robot sebagai alat bantu manusia, bukan untuk ambil alih kerja manusia. Tumpuan kami adalah kepada penggunaan teknologi dalam sektor hospitaliti dan hartanah seperti hotel, kediaman dan pembangunan bercampur,” katanya ditemui pada majlis pelancaran inisiatif itu di Shah Alam, semalam.
Antara teknologi yang telah digunakan secara dalaman termasuk robot chef dan sistem keselamatan berasaskan AI yang sedang digunakan di hotel serta premis milik syarikat.
Pada masa yang sama, Platform i-City SuperApp pula bakal menjadi tunjang utama dalam penyepaduan keupayaan Robotics-as-a-Service (RaaS) dalam seluruh ekosistem aset milik I-Bhd, dengan rancangan masa depan untuk membolehkan penyewa turut menggunakan infrastruktur ini bagi mengoptimumkan operasi masing-masing.
Setakat ini, I-Bhd sedang menjalankan perbincangan dengan beberapa rakan teknologi AI dan robotik antarabangsa seperti Unitree, DeepSeek dan Baidu bagi memperkukuh kedudukan i-City sebagai pembangunan digital berasaskan AI yang berskala besar.