KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengorak langkah dalam memperkukuh kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri semikonduktor global dengan pelaksanaan pelan terperinci di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, pelan itu, yang diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) pada 17 Februari yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyasarkan pembangunan 110 syarikat tempatan dalam bidang berteknologi tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu (IC design), pembungkusan maju (advanced packaging) dan pembuatan peralatan termaju (advanced manufacturing equipment).
“Sebanyak 10 syarikat tempatan berkaitan semikonduktor yang kini menjana pendapatan tahunan antara RM1 bilion hingga RM4.7 bilion akan diperkukuh, selain usaha untuk mewujudkan 100 syarikat baharu dengan pendapatan tahunan sekitar RM1 bilion,” kata kenyataan itu.
NSS, yang dilancarkan pada Mei 2024, bertujuan untuk meningkatkan daya saing Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030).
Langkah ini juga akan mempercepatkan transformasi sektor pembuatan negara, dengan fokus kepada peningkatan bakat berkemahiran tinggi dan gaji median dalam industri ini.
Menurut kementerian itu, pelan terperinci ini menandakan anjakan strategik daripada pendekatan berasaskan pembuatan kepada tumpuan yang lebih besar terhadap teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kedaulatan teknologi.
“Ini bertujuan untuk memastikan Malaysia bukan sekadar menjadi hab pengeluaran, tetapi turut memainkan peranan utama dalam inovasi dan pembangunan industri semikonduktor global.
“Sejajar dengan visi Ekonomi MADANI, pelan ini akan membantu industri tempatan meneroka pasaran global dengan meningkatkan kapasiti pengeluaran cip bernilai tinggi, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Bagi memastikan kejayaan inisiatif ini, katanya, pelaksanaan NSS akan menggunakan pendekatan seluruh kerajaan (whole-of-government), dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bekerjasama rapat dengan pelbagai kementerian lain, termasuk Kementerian Ekonomi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, serta Kementerian Pendidikan Tinggi.
Dalam masa yang sama, Malaysia juga akan memperkukuh diplomasi semikonduktor sebagai sebahagian daripada strategi NSS, dengan MITI dan Kementerian Luar Negeri bekerjasama untuk membangunkan hubungan antarabangsa serta rakan kongsi ASEAN dalam memastikan rantaian bekalan global yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Sumber: BH Online