KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti beberapa perkara terakhir sebelum mengeluarkan surat kelulusan kepada U Mobile bagi membolehkan syarikat itu meneruskan pelaksanaan rangkaian 5G kedua negara, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Februari lalu, pihaknya telah membentangkan status pelaksanaan rangkaian 5G pertama.
Menurutnya, Digital Nasional Bhd (DNB) telah menyerahkan pelan perniagaan terperinci kepada MCMC untuk penelitian lanjut.
“Bagi pihak U Mobile, pelan perniagaan telah dikemukakan lebih awal dan saya difahamkan syarikat itu juga sudah membuat beberapa pengumuman mengenai tarikh permulaan pelaksanaan rangkaian 5G.
“MCMC kini sedang dalam proses meneliti perkara terakhir sebelum mengeluarkan surat kelulusan bagi membolehkan U Mobile meneruskan pembinaan rangkaian 5G kedua.
“Surat ini akan memberi kuasa kepada U Mobile untuk melaksanakan projek berkenaan, dan kita menjangkakan ia akan dikeluarkan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Pusat Pelanggan Persendirian Premier OCBC di Bangsar, di sini, hari ini.
Pada 1 November 2024, MCMC dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua Malaysia.
MCMC memaklumkan bahawa pemilihan U Mobile dibuat selepas penilaian teknikal dan komersial yang menyeluruh, bagi memastikan teknologi 5G dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat, industri dan negara.
Sementara itu, mengenai rombakan pelaksanaan Fasa 2 Jalinan Digital Negara (JENDELA), Fahmi berkata, perunding pengurusan projek telah dilantik bagi meneliti aspek berkaitan.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan fasa kedua ini mungkin tidak terlalu bergantung kepada infrastruktur seperti menara telekomunikasi sebagaimana dalam fasa pertama.
“Bagi fasa kedua, kita akan meneliti penyelesaian yang lebih bersesuaian kerana keperluan di sesuatu kawasan mungkin berbeza, bergantung kepada jumlah penduduk dan bentuk muka bumi yang mencabar.
“Mungkin ada aspek tertentu di mana kita akan memberi kelonggaran kepada syarikat untuk melaksanakannya. Dalam JENDELA fasa pertama, terdapat beberapa perkara yang terlalu longgar dan ada yang terlalu ketat.
“Justeru, kita mengambil iktibar daripada pengalaman fasa pertama untuk memastikan pelaksanaan fasa kedua lebih berkesan,” katanya.
Sumber: BH Online