KUALA LUMPUR: Pekebun kecil sawit di Malaysia dilihat mempunyai kedudukan yang baik untuk menghadapi cabaran dalam memenuhi Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), kata penganalisis.
TA Securities berkata, umumnya, pekebun kecil Malaysia mempunyai akses yang lebih baik kepada infrastruktur, perkhidmatan sokongan dan pembiayaan, hasil daripada pembabitan kerajaan yang lebih teratur.
Sebaliknya, katanya, pekebun kecil Indonesia lazimnya beroperasi di bidang tanah yang lebih kecil, dengan purata dua hingga tiga hektar dan menghadapi cabaran dengan pemilikan tanah, pembiayaan dan pematuhan piawaian kemampanan seperti Minyak Sawit Lestari Indonesia (ISPO).
Malah, tambahnya, keselamatan pegangan selalunya tidak jelas, yang membawa kepada konflik dan kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan.
“Mereka (pekebun kecil Indonesia) beroperasi dengan kurangnya sokongan kerajaan berbanding Malaysia. Oleh itu, kami percaya bahawa Indonesia akan menghadapi lebih banyak cabaran dalam memenuhi keperluan EUDR disebabkan oleh kos dan kerumitan mematuhi EUDR,” katanya dalam nota penyelidikannya.
Mengulas lanjut, TA Securities berkata, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), ladang swasta dan agensi Kerajaan Negeri menguasai 73.6 peratus daripada kawasan tanaman sawit di Malaysia, sementara pekebun kecil bebas memiliki 14.5 peratus dan pekebun kecil terancang memegang baki 11.9 peratus.
Ia berkata, pekebun kecil terancang di Malaysia disokong oleh agensi kerajaan seperti FELDA, FELCRA atau RISDA melalui skim penempatan semula dan penukaran tanaman atau bentuk bantuan lain.
Katanya, pekebun kecil bebas pula ialah peladang individu yang memiliki atau memajak 40.46 hektar atau kurang tanah sawit dan menguruskannya sendiri atau dengan pekerja yang diupah.
Sementara pekebun kecil di Indonesia pula, TA Securities berkata, ia menyumbang sebahagian besar pengeluaran minyak sawit.
“Menurut Statistik Minyak Sawit Indonesia 2022 daripada Badan Pusat Statistik (BPS), daripada kira-kira 16.83 juta hektar ladang sawit di Indonesia, 6.21 juta hektar (40.51 peratus) dimiliki oleh pekebun kecil.
“Ladang swasta merangkumi 8.58 juta hektar (55.92 peratus), dan ladang besar milik kerajaan meliputi 0.55 juta hektar (3.57 peratus),” katanya.
Mengenai impak pelaksanaan EUDR, TA Securities percaya bahawa peraturan EUDR akan memberi kesan ketara kepada import dari Indonesia dan Malaysia, yang adalah pembekal terbesar kepada EU.
Ia berkata, Indonesia dan Malaysia menyumbang lebih 80 peratus daripada perdagangan global minyak sawit.
Katanya, pada 2023, EU mengimport kira-kira 4.9 juta tan jumlah minyak sawitnya dari kedua-dua negara pengeluar itu.
Peraturan baharu EUDR ditetapkan untuk berkuat kuasa menjelang akhir 2025, yang pada mulanya dicadangkan pada 30 Disember 2024.
Peraturan itu akan mengenakan keperluan yang lebih ketat, mewajibkan pensijilan bebas penebangan hutan dan kebolehkesanan rantaian bekalan terperinci.
Akibatnya, pengeluar berkemungkinan akan menghadapi kos tambahan, meletakkan beban yang amat berat kepada pengendali yang lebih kecil yang mungkin sudah bergelut dengan tuntutan kewangan pematuhan.
Di bawah EUDR, Suruhanjaya Eropah akan mewujudkan sistem penanda aras tiga peringkat untuk mengkategorikan negara dan wilayah pengeluar komoditi sebagai risiko rendah, standard atau tinggi berhubung dengan penebangan hutan.
Klasifikasi itu akan menentukan peratusan penghantaran yang tertakluk kepada pemeriksaan oleh pihak berkuasa.
Barangan dari negara atau wilayah berisiko tinggi akan menjalani pemeriksaan yang lebih meluas, dengan kedua-dua barangan dan syarikat dari kawasan itu akan diperiksa.
Sumber: BH Online