Industri E&E Malaysia bakal terima manfaat besar dasar NSS – Penganalisis

KUALA LUMPUR: Peruntukan fiskal bagi Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) memberikan potensi peningkatan kepada ekosistem semikonduktor dan elektrik & elektronik (E&E) tempatan.

Penganalisis CIMB Securities Sdn Bhd, Mohd Shanaz Noor Azam berkata, peserta industri tempatan sangat bersemangat mengenai rancangan kerajaan untuk memperuntukkan RM25 bilion dalam sokongan fiskal bagi pelaksanaan dasar NSS.

Beliay berkata, potensi insentif bernilai RM3 bilion, terutamanya untuk geran modal sedia ada dan Dana Pelaburan Strategik Domestik (DSIF) akan memberi manfaat dalam lima bidang utama iaitu latihan, pensijilan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), proses dan peralatan baharu serta pemodenan kilang.

“Walaubagaimanapun, menurut portal Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), permohonan baharu untuk DSIF telah dihentikan sejak akhir 2021. Oleh itu, kemungkinan pengenalan semula insentif geran padanan di bawah dasar NSS akan menjadi pemangkin positif bagi sektor ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Mohd Shanaz berkata, dasar NSS Malaysia adalah inisiatif oleh kerajaan bertujuan untuk memperkukuhkan industri semikonduktor negara dan membina rantaian bekalan semikonduktor global yang lebih berdaya tahan.

Beliau berkata, ia juga memanfaatkan kedudukan unik Malaysia sebagai lokasi neutral untuk pengeluaran semikonduktor.

Dasar itu katanya direka untuk meningkatkan keupayaan Malaysia dalam pembuatan semikonduktor, inovasi, dan teknologi berkaitan sebagai tindak balas kepada permintaan global yang semakin meningkat.

Ini terutamanya katanya untuk semikonduktor dalam pelbagai industri seperti automotif, industri dan telekomunikasi.

“Di bawah salah satu daripada lima sasaran dasar NSS, kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion untuk membantu industri melatih dan meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera berkemahiran tinggi, dengan matlamat untuk mewujudkan saluran bakat yang kukuh.

“Sebagai contoh, kami mengetahui bahawa kerajaan, melalui MIMOS sedang menubuhkan Akademi MIMOS, yang bertujuan menyediakan program latihan dan pembangunan profesional yang khusus disesuaikan untuk memenuhi keperluan industri.

“Selain itu, peserta industri juga mencadangkan agar kerajaan memudahkan peralihan bakat kejuruteraan dari sektor lain ke dalam industri semikonduktor dan E&E dengan menawarkan program latihan semula.

“Mereka juga menyuarakan harapan agar kerajaan menjemput bakat asing ke dalam industri semikonduktor Malaysia untuk mempercepatkan peralihan kepada perkhidmatan bernilai tambah tinggi, seperti reka bentuk IC,” katanya.

Sumber: BH Online