Barclays mahu buang 5,000 pekerja bagi diganti dengan AI

LONDON: Barclays akan mengurangkan kira-kira 5,000 pekerjaan atau lima peratus daripada jumlah tenaga kerja tahun ini, menerusi penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) bagi mengurangkan kos tetap dan meningkatkan pulangan keseluruhan.

Pengurangan pekerjaan itu diumumkan ketika Barclays melaporkan keuntungan suku ketiga sebanyak £2.3 bilion (AS$3.08 bilion), meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu, tetapi lebih rendah daripada ramalan penganalisis susulan prestasi kurang memberangsangkan dalam perniagaan dagangan pendapatan tetapnya.

“Saya kecewa dan anda boleh yakin perkara ini akan mendapat perhatian saya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), C.S. Venkatakrishnan, ketika mengulas prestasi dagangan pendapatan tetap yang secara tradisinya menjadi antara kekuatan bank itu.

Beliau menyalahkan keadaan pasaran yang tidak menentu sepanjang suku berkenaan serta aktiviti dagangan yang lemah, khususnya bagi produk kadar faedah dan kredit.

Barclays berkata, pihaknya mengambil langkah penjimatan kos struktur tambahan berjumlah £201 juta pada suku ketiga, sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk mengurangkan perbelanjaan seperti kos kakitangan menerusi penggunaan teknologi yang lebih meluas.

Kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan pengurangan pekerjaan itu akan membabitkan kakitangan dalam fungsi sokongan, termasuk pembangun perisian, kata Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Anna Cross, kepada pemberita.

Perkembangan itu antara petunjuk paling jelas setakat ini daripada sebuah bank besar mengenai bagaimana AI membolehkan syarikat mengurangkan jumlah pekerja dalam bidang berkenaan.

Cross berkata, sebanyak 1,000 jawatan sudah dimansuhkan, manakala selebihnya akan dikurangkan menjelang akhir tahun ini.

Saham Barclays susut 2.5 peratus pada awal dagangan, menunjukkan prestasi lebih lemah berbanding bank lain.

Saham bank itu merosot 14 peratus setakat tahun ini, seiring dengan rakan setara di Eropah yang mengalami penurunan selepas mencatat kenaikan selama beberapa tahun susulan peningkatan kadar faedah yang melonjakkan keuntungan.

Shore Capital dalam satu nota berkata bahawa keputusan kewangan Barclays lebih lemah daripada jangkaan berikutan prestasi mengecewakan bahagian perbankan pelaburannya.

Barclays merupakan institusi pemberi pinjaman utama pertama di Eropah yang melaporkan keputusan kewangan suku tahunan, dengan prestasi bank-bank Britain dijangka dibayangi pembentangan belanjawan pertama Menteri Kewangan, John Healey, pada 28 Oktober, yang berkemungkinan menyaksikan pengenaan cukai tambahan terhadap bank.

Healey enggan menolak kemungkinan menaikkan cukai terhadap keuntungan besar bank, meskipun industri itu giat menjalankan usaha melobi secara terbuka dan tertutup sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Menteri kewangan itu sedang mempertimbangkan cukai lebih tinggi bagi membiayai agenda dasar kerajaan Parti Buruh, ketika peningkatan kos pinjaman turut menambah tekanan terhadap kewangan awam.

Bank-bank berhujah bahawa mereka sudah dikenakan cukai yang tinggi berbanding institusi di bidang kuasa lain, selain memberi amaran bahawa sebarang levi tambahan boleh mengekang pemberian pinjaman.

Bahagian perbankan pelaburan Barclays mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak £3.1 bilion pada suku ketiga, lebih rendah berbanding ramalan £3.3 bilion.

Keputusan suku ketiga pesaing Barclays di Wall Street yang diumumkan awal bulan ini turut memperlihatkan sifat kitaran pendapatan perbankan pelaburan, apabila aktiviti urus niaga menjadi perlahan dan bahagian dagangan pendapatan tetap mencatatkan prestasi lemah.

Hanya dagangan ekuiti berjaya mengekalkan momentum kukuh yang dicatatkan pada separuh pertama tahun ini.

Pendapatan dagangan ekuiti Barclays meningkat 47 peratus, mengatasi purata kenaikan 37 peratus yang dicatatkan lima pemain utama Amerika Syarikat (AS) dalam sektor berkenaan, berdasarkan pengiraan Reuters daripada penyata syarikat.

Bagaimanapun, pendapatan Barclays daripada dagangan pendapatan tetap merosot 19 peratus kepada £1 bilion, lebih lemah berbanding penurunan lima peratus dalam kalangan pesaingnya di AS dan di bawah ramalan penganalisis sebanyak £1.3 bilion.

-Reuters

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2026/10/1681216/barclays-mahu-buang-5000-pekerja-bagi-diganti-dengan-ai