Kadar inflasi Malaysia lebih perlahan 1.8 peratus bulan lalu, harga makanan terkawal

KUALA LUMPUR: Kadar inflasi Malaysia yang diukur menerusi Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat lebih perlahan 1.8 peratus pada September 2026 berbanding 1.9 peratus pada bulan sebelumnya.

Ini didorong oleh kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain yang meningkat perlahan kepada 1.4 peratus berbanding 2.1 peratus pada Ogos 2026.

Kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan menyederhana kepada 2.8 peratus pada September 2026 berbanding 3.2 peratus pada Ogos 2026.

Kumpulan maklumat dan komunikasi serta makanan dan minuman masing-masing turut meningkat lebih perlahan kepada 1.8 peratus berbanding 2.6 peratus dan 1.9 peratus pada bulan sebelumnya.

Selain itu, kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah meningkat 0.3 peratus berbanding 0.4 peratus pada Ogos 2026.

Namun begitu, kumpulan pengangkutan meningkat 2.5 peratus pada September 2026 berbanding 2.0 peratus pada Ogos 2026.

Kumpulan restoran dan perkhidmatan penginapan serta pendidikan masing-masing meningkat 2.2 peratus dan 2.1 peratus berbanding 2.1 peratus dan 1.9 peratus pada bulan sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan memaklumkan, kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 1.8 peratus pada September 2026 berbanding 1.9 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Ia berkata, peningkatan ini didorong oleh subkumpulan makanan di rumah yang menyederhana kepada 1.2 peratus berbanding 1.4 peratus pada Ogos 2026.

“Manakala, subkumpulan makanan di luar rumah meningkat 2.6 peratus pada September 2026 berbanding 2.5 peratus pada Ogos 2026,” katanya.

Menurut DOSM, kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat perlahan kepada 1.4 peratus pada September 2026 berbanding 2.1 peratus pada Ogos 2026.

Ia didorong oleh subkumpulan bekalan air dan pelbagai perkhidmatan berkaitan dengan rumah kediaman serta elektrik, gas dan bahan api dengan masing-masing mencatatkan kadar inflasi lebih rendah pada September 2026 iaitu 1.3 peratus.

Peningkatan perlahan inflasi subkumpulan elektrik, gas dan bahan api didorong oleh pengemaskinian kadar Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang dikenakan ke atas pelanggan domestik di Semenanjung Malaysia bagi penggunaan lebih daripada 800 kilowatt sejam (kWh).

Kerajaan memperluas tahap perlindungan bil elektrik bagi pengguna domestik daripada 600 kWh kepada 800 kWh sebulan, berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai 1 September hingga 31 Disember 2026 bagi meringankan tekanan kos sara hidup rakyat.

Selain itu, semua pengguna domestik di Sarawak menerima diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus bagi tempoh April hingga Disember 2026, yang memberi manfaat kepada kira-kira 714,000 isi rumah susulan inisiatif bantuan kewangan kerajaan Sarawak.

Bagaimanapun, DOSM berkata inflasi kumpulan pengangkutan meningkat 2.5 peratus pada September 2026 berbanding 2.0 peratus pada Ogos 2026.

Katanya, ini didorong oleh subkumpulan pengurusan peralatan pengangkutan persendirian yang mencatatkan kenaikan 2.7 peratus.

Manakala, subkumpulan perkhidmatan pengangkutan awam menyederhana kepada 7.8 peratus berbanding 10.5 peratus yang dicatatkan pada Ogos 2026.

Purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada September 2026 meningkat kepada RM4.64 seliter berbanding RM4.28 seliter pada Ogos 2026.

Purata harga pasaran diesel mencatatkan pada RM5.05 seliter berbanding harga subsidi, RM2.10 seliter.

Di samping itu, purata harga pasaran petrol tanpa plumbum RON95 merekodkan RM4.16 seliter pada September 2026 berbanding harga subsidi sebanyak RM1.99 seliter.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/10/1676421/kadar-inflasi-malaysia-lebih-perlahan-18-peratus-bulan-lalu-harga