Kewangan domestik kekal teratur meskipun berdepan ketidaktentuan luaran – BNM

KUALA LUMPUR: Sistem kewangan Malaysia tidak kebal daripada kesan konflik di Asia Barat, termasuk kejutan harga komoditi yang lebih besar, gangguan bekalan berpanjangan dan ketidaktentuan pasaran kewangan global sekiranya konflik terus berlarutan atau bertambah buruk, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat itu menjelaskan, konflik yang lebih berpanjangan juga boleh menyebabkan pertumbuhan global lebih lemah, sekali gus meningkatkan risiko kepada perniagaan dan isi rumah.

“Bagaimanapun, bukti setakat ini menunjukkan risiko terhadap kestabilan kewangan domestik masih terkawal, dengan tekanan kewangan tertumpu kepada sektor dan segmen peminjam tertentu.

“Pada masa sama, kualiti kredit secara keseluruhan kekal kukuh, pembiayaan terus mengalir kepada ekonomi sebenar, manakala institusi kewangan mempunyai penampan modal, mudah tunai dan peruntukan yang kukuh,” menurutnya dalam dalam laporan bertajuk ‘Beyond Oil Prices: From Geopolitical Conflict to Financial Stability Risk’.

Menurut BNM, sistem kewangan Malaysia mempunyai tahap daya tahan yang tinggi untuk menyerap kejutan. Namun perkembangan semasa masih memerlukan pemantauan rapi berikutan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan.

Bank pusat itu berkata, ujian tekanan makro sebelum ini sudah mengambil kira senario peningkatan penghindaran risiko global akibat perkembangan geopolitik, tekanan inflasi susulan gangguan rantaian bekalan dan kenaikan harga komoditi.

“Potensi kesan daripada konflik yang lebih panjang atau lebih teruk juga dijangka masih berada dalam lingkungan senario ujian tekanan berkenaan, dengan sistem kewangan terus menunjukkan daya tahan dalam keadaan lebih mencabar.

“Dalam sektor perniagaan, kedudukan kewangan korporat secara keseluruhan kekal kukuh, namun terdapat tanda tekanan dalam kalangan firma tertentu, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Jelasnya, sesetengah firma berdepan kos input dan logistik lebih tinggi, pembayaran tertangguh serta kitaran penukaran tunai yang lebih panjang.

“Keadaan itu lebih mencabar bagi PKS yang lazimnya mempunyai margin keuntungan dan penampan mudah tunai lebih kecil, selain keupayaan lebih terhad untuk mempelbagaikan pembekal atau menyerap peningkatan kos berbanding syarikat lebih besar.

“BNM turut mengesan tanda tekanan pembayaran balik dalam segmen tertentu, termasuk PKS dalam sektor pengangkutan, perdagangan borong dan runcit serta pembuatan utama,” katanya.

Katanya, bagaimanapun, kualiti keseluruhan pinjaman perniagaan kekal kukuh dengan nisbah pinjaman terjejas perniagaan pada 2.8 peratus setakat Jun 2026.

Jelas laporan lagi, pinjaman perniagaan terkumpul pula berkembang 7.3 peratus secara tahunan pada Jun 2026, lebih tinggi berbanding purata pertumbuhan 4.1 peratus antara 2022 hingga 2025, disokong antaranya oleh pembiayaan modal kerja.

“Perkembangan itu menunjukkan pengantaraan kredit terus berfungsi, walaupun institusi perbankan lebih berhati-hati dalam menilai peminjam daripada sektor yang terjejas.

“Bagi sektor isi rumah, kedudukan kewangan secara keseluruhan kekal berdaya tahan, disokong keadaan pasaran buruh yang stabil dan langkah dasar domestik,” katanya.

Katanya, nisbah khidmat hutang median peminjam berada pada 32.1 peratus setakat Jun 2026, hampir tidak berubah berbanding 32.2 peratus pada Mac.

“Bagaimanapun, tekanan pembayaran balik yang lebih serius meningkat sedikit merentasi kumpulan pendapatan dan lebih ketara dalam kalangan peminjam berpendapatan rendah yang mempunyai penampan kewangan lebih terhad,” katanya.

BNM berkata, bagaimanapun setakat ini terdapat bukti terhad bahawa konflik di Asia Barat sudah menjejaskan secara material keupayaan pembayaran balik hutang isi rumah.

Sementara itu, sektor perbankan terus mempunyai penampan kukuh untuk menyerap kemungkinan kerugian, dengan nisbah jumlah modal pada 17.9 peratus daripada aset berwajaran risiko, melebihi keperluan minimum kawal selia.

Nisbah pinjaman terjejas agregat kekal pada 1.4 peratus, manakala nisbah perlindungan kerugian pinjaman termasuk rizab kawal selia berada pada 124.6 peratus.

Tambahnya, kedudukan mudah tunai dan pendanaan bank juga kekal berdaya tahan, dengan Nisbah Perlindungan Mudah Tunai (LCR) pada 149.6 peratus dan Nisbah Pendanaan Stabil Bersih (NSFR) sebanyak 114.7 peratus, masing-masing melebihi paras minimum kawal selia.

“Bagi sektor insurans dan takaful, nisbah kecukupan modal agregat berada pada 225 peratus setakat Jun 2026, manakala pendedahan perniagaan langsung kepada wilayah yang terjejas akibat konflik kekal terhad.

“Pemantauan akan terus memberi tumpuan kepada kedudukan mudah tunai perniagaan, trend pembayaran balik dalam kalangan firma dan isi rumah rentan serta keadaan pendanaan bank ketika ketidaktentuan geopolitik berterusan,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/10/1657327/kewangan-domestik-kekal-teratur-meskipun-berdepan-ketidaktentuan