KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 diharap menggariskan strategi bagi membantu pemain industri pembinaan menangani peningkatan kos bahan dan komponen lain termasuk tenaga kerja serta gaji, demikian menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Jelasnya, perincian mengenai belanjawan itu perlu menunggu sehingga ia dibentangkan pada 9 Oktober ini sebelum dapat dibincangkan lebih lanjut.
“Belanjawan 2027 akan dibentangkan pada 9 Oktober. Perinciannya perlu dibentangkan terlebih dahulu dan selepas itu barulah kita boleh membincangkannya.
“Namun, dari segi apa yang kita harapkan, sudah tentu industri pembinaan mahu melihat beberapa strategi diperkenalkan menerusi belanjawan nanti mengenai bagaimana kita boleh terus membantu pemain industri menangani peningkatan kos bahan,” katanya selepas menghadiri Future-Ready Green Data Centre Symposium: Sustainable and High-Performance Engineering, di sini, hari ini.
Terdahulu, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) memaklumkan kos kerja tanah dan infrastruktur bagi projek pembangunan melonjak sehingga lebih 20 peratus susulan konflik berterusan di Asia Barat.
Kenaikan itu sekali gus memberi tekanan kepada kos pembangunan hartanah di negara ini.
Secara purata, peningkatan kos bahan binaan direkodkan sekitar 13 peratus, namun kesannya berbeza mengikut jenis kerja pembinaan.
Kerja tanah dan infrastruktur paling terkesan berikutan penggunaan bahan berasaskan diesel seperti bitumen, manakala kenaikan kos bagi kerja pembinaan bangunan biasa lebih rendah, sekitar tiga hingga lima peratus.
Sementara itu, Nanta berkata, ketidaktentuan harga pasaran minyak dunia akibat krisis geopolitik turut membabitkan peningkatan kos komponen penting lain dalam industri pembinaan seperti tenaga kerja dan gaji.
“Kita semua tahu harga minyak tidak stabil disebabkan peperangan di Asia Barat. Sudah tentu ia memberi kesan. Tiada siapa boleh menafikannya,” katanya.