Malaysia dalam kedudukan strategik jadi ‘Switzerland semikonduktor’ dunia – Nomura

KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada perubahan rantaian bekalan semikonduktor global susulan ketegangan geopolitik, dengan negara ini dilihat seperti ‘Switzerland semikonduktor’ kerana mempunyai hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS) dan China.

Analogi ‘Switzerland’ digunakan kerana negara itu sering dikaitkan dengan kedudukan yang tidak terlalu terikat kepada mana-mana kuasa besar serta reputasi sebagai tempat yang stabil untuk menjalankan urusan antarabangsa.

Penganalisis Kanan, Nomura Asset Management, UK, Takeshi Kawamoto, berkata kekuatan Malaysia dalam aktiviti pembungkusan dan ujian semikonduktor memberi kelebihan untuk menarik lebih banyak pelaburan ketika syarikat global mempelbagaikan rantaian bekalan.

Katanya, kehadiran syarikat seperti Infineon dan Intel turut mencerminkan kedudukan Malaysia dalam ekosistem berkenaan.

“Bagaimanapun, Malaysia perlu merebut lebih banyak peluang dalam teknologi pembungkusan maju, terutama bagi menyokong pengeluaran cip kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan penyepaduan memori HBM dan DRAM dengan GPU.

Backward Skip 10sPlay VideoForward Skip 10s

“Sebahagian teknologi berkenaan kini dikuasai pemain seperti TSMC, namun proses itu semakin mula dialihkan kepada syarikat penyumberan luar pembungkusan dan pemasangan (OSAT),” katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Pada masa sama, Kawamoto melihat peningkatan permintaan berkaitan AI sudah memberi limpahan kepada industri elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia, dengan eksport sektor berkenaan berkembang pada kadar dua angka, sekitar pertengahan belasan peratus tahun ini berbanding pertumbuhan satu angka tinggi sebelumnya.

Beliau berkata, keadaan itu mencerminkan manfaat kitaran AI yang mula dirasai pemain tempatan, manakala sebahagian syarikat masih berada pada peringkat meningkatkan pengeluaran.

Katanya, peluang pertumbuhan juga masih terbuka bagi peserta Malaysia yang mempunyai pendedahan kepada rantaian bekalan AI kerana kebanyakan syarikat berkenaan masih berada dalam fasa ‘ramp-up’ dan belum mencapai kemuncak pendapatan.

“Perkembangan ini memberikan prospek pendapatan yang positif, khususnya apabila lebih banyak syarikat tempatan berjaya menembusi segmen pembungkusan maju,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Portfolio Nomura Asset Management Malaysia, Mohd Aris Mohd Sharif, berkata sektor teknologi negara kini berada dalam ruang yang menarik berikutan peningkatan perbelanjaan susulan pelanggan dari AS dan China, yang turut mendorong syarikat tempatan meningkatkan kapasiti pengeluaran.

Katanya, sebahagian perbelanjaan modal itu disokong komitmen pelanggan dan bukan bersifat spekulatif, walaupun sesetengah syarikat masih berdepan kekangan tenaga kerja yang mengehadkan pertumbuhan pendapatan.

“Pada saya, sektor teknologi Malaysia berada dalam ruang yang sangat menarik ketika ini. Terdapat banyak perbelanjaan susulan daripada pelanggan mereka, sama ada berpangkalan di AS mahupun China.

“Ini juga akan menggalakkan pemain Malaysia berbelanja untuk mengembangkan kapasiti. Ia bukan spekulatif bagi kebanyakan mereka, sebaliknya disokong komitmen daripada pelanggan,” katanya.

Mohd Aris berkata, bagi syarikat berkaitan AI, tumpuan utama adalah sejauh mana produk yang dibangunkan mampu menghasilkan pendapatan, terutama daripada pelanggan perusahaan, manakala permintaan terhadap cip dan infrastruktur AI terus menjadi pemacu utama industri semikonduktor global.

“Penggunaan AI juga dijangka terus berkembang, dengan jumlah token yang diproses dilihat sebagai antara petunjuk utama permintaan, selain unjuran peningkatan penggunaan token yang besar menjelang 2030.

“Syarikat teknologi Malaysia juga perlu bergerak ke arah teknologi pembungkusan lebih maju yang menawarkan margin dan harga lebih tinggi, selain memperkukuh keupayaan dalam ruang bahagian hadapan,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/09/1643167/malaysia-dalam-kedudukan-strategik-jadi-switzerland-semikonduktor