KUALA LUMPUR: Labuan IBFC Incorporated Sdn Bhd (Labuan IBFC Inc.) dan TRX City Sdn Bhd (TRXC) menjalin kerjasama strategik bagi menghubungkan dua pusat kewangan antarabangsa Malaysia serta memperluas akses kepada peluang pelaburan dan perniagaan.
Kerjasama itu menggabungkan kekuatan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) dan Tun Razak Exchange (TRX) dalam menyediakan laluan lebih luas kepada syarikat serta pelabur untuk memanfaatkan keupayaan kewangan kedua-dua pusat berkenaan.
Menerusi perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini, kedua-dua pihak akan meneroka pembangunan pasaran bersama, perkongsian pengetahuan dan penyelidikan, aktiviti promosi serta fasilitasi pelaburan.
Ketua Pegawai Eksekutif Labuan IBFC Inc., Ben Quah, berkata syarikat yang berpangkalan di TRX dan berhasrat mengembangkan operasi ke rantau ini boleh memanfaatkan penyelesaian yang ditawarkan Labuan IBFC termasuk struktur korporat dan lesen berkaitan.
“TRX mempunyai ekosistem syarikat yang kukuh manakala Labuan menawarkan penyelesaian untuk syarikat yang mahu berkembang ke peringkat serantau.
“Gabungan kekuatan kedua-dua pusat ini berpotensi memperluas capaian pasaran serta menarik syarikat dan pelabur baharu ke Malaysia,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif TRXC, Datuk Azmar Talib, berkata kerjasama berkenaan bertujuan meningkatkan fungsi, tahap perkhidmatan dan asas pelanggan kedua-dua pusat kewangan itu serta memperkukuh ekosistem kewangan negara.
Beliau berkata, TRX akan terus memberi tumpuan kepada industri perkhidmatan kewangan serta sektor perkhidmatan berkaitan bagi membantu meningkatkan tahap perkhidmatan kewangan negara.
“Kerjasama ini turut memberi tumpuan kepada usaha menarik perniagaan dari rantau Asia Timur, termasuk Singapura, Hong Kong, Taiwan, China, Korea Selatan dan Jepun, selain pasaran Asia Barat.
“Kerjasama berkenaan turut mengambil kira keperluan syarikat yang semakin mempelbagaikan operasi di Asia dan memerlukan platform bagi memenuhi keperluan operasi serta kewangan rentas sempadan,” katanya.
Labuan IBFC ialah pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Malaysia yang menyokong aktiviti rentas sempadan, termasuk pengurusan kekayaan, pelaburan dan pembiayaan, insurans, kewangan Islam serta perkhidmatan kewangan digital.
Penubuhan dan kawal selia entiti Labuan dipantau pihak berkuasa perkhidmatan kewangan Labuan (Labuan FSA), badan berkanun tunggal di bawah seliaan Kementerian Kewangan.
TRXC pula ialah pemaju induk dan pengurus TRX, Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia selain berperanan menarik pelaburan dan menyokong pertumbuhan sektor kewangan negara.