PUTRAJAYA: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menyasarkan untuk merealisasikan pelaburan kumulatif sebanyak RM470 bilion menjelang 2030, meningkat RM126.2 bilion berbanding RM343.8 bilion yang dicatatkan dalam tempoh lima tahun sebelumnya.
Sasaran berkenaan adalah sebahagian daripada Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030 yang dilancarkan hari ini, dengan 70 peratus daripada pelaburan berkenaan disumbangkan sektor utama seperti elektrik dan elektronik (E&E), automotif, pelancongan bernilai tinggi serta pertanian moden.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata sasaran itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk menterjemahkan wawasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) ke peringkat wilayah secara tersusun dan berimpak tinggi.
Katanya, Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030 bukan sekadar dokumen perancangan, sebaliknya menjadi pemangkin untuk memacu Wilayah Utara sebagai peneraju pelaburan perindustrian bernilai tinggi serta hab global penyelidikan, pembangunan, komersialisasi, teknologi dan inovasi (R&D&C&T&I).
“Sasaran ini bukan sekadar angka, tetapi cerminan komitmen untuk memastikan setiap ringgit pelaburan yang masuk diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, pekerjaan berkualiti dan kesejahteraan rakyat di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak,” katanya pada sidang media selepas taklimat media Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030 di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Mohamad Haris Kader Sultan.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, sasaran pelaburan itu turut bergerak seiring sasaran meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Wilayah Utara kepada RM369 bilion, mewujudkan 310,000 peluang pekerjaan berkualiti termasuk 45 peratus pekerjaan berkemahiran tinggi serta meningkatkan pendapatan isi rumah median kepada RM7,500.
Beliau berkata, pelan berkenaan disokong empat teras utama iaitu Meningkatkan Keupayaan, Memacu Inovasi, Mengupayakan Pertumbuhan dan Memanfaatkan Kelebihan Wilayah, selain 15 strategi serta 21 inisiatif bagi memastikan sasaran dapat dicapai.
Sementara itu, Mohamad Haris berkata, NCER yakin sasaran RM470 bilion itu mampu direalisasikan berdasarkan trend pelaburan sebelum ini, khususnya perkembangan daripada pelaburan diluluskan kepada pelaburan direalisasikan.
“Berdasarkan trend sebelum ini, setakat ini jumlah pelaburan, khususnya pelaburan yang direalisasikan adalah berdasarkan pelaburan yang diluluskan. Kita yakin semua pelaburan yang diluluskan itu akan direalisasikan menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata, sasaran baharu itu sememangnya lebih mencabar berbanding sasaran sebelumnya, namun pencapaian bagi tempoh 2020 hingga 2025 yang melebihi sasaran memberikan asas keyakinan untuk mencapai jumlah berkenaan.
Katanya, pelaburan yang diluluskan lazimnya mengambil masa sekitar dua hingga tiga tahun untuk direalisasikan, manakala tempoh maksimum boleh mencecah lima tahun, sekali gus menjadi asas kepada sasaran yang ditetapkan sehingga 2030.
“Potensi Wilayah Utara untuk terus menjadi destinasi pelaburan turut diperkukuh beberapa pemangkin, termasuk pembangunan infrastruktur dan kesalinghubungan yang dapat menyokong aktiviti logistik bagi tempoh 2026 hingga 2030.
“Antara yang kita ketengahkan, terutamanya di paling utara adalah pelabuhan darat, supaya perkara itu akan membuka laluan kesalinghubungan yang seterusnya menarik minat bahawa dari segi logistik itu ada penambahbaikan yang lebih ketara untuk tempoh 2026 hingga 2030,” katanya.
Mengulas sektor yang bakal menjadi pemacu utama sasaran pelaburan berkenaan, Mohamad Haris berkata, kira-kira 95 peratus pelaburan NCER sebelum ini berasaskan sektor E&E dan pembuatan.
“Kalau kita tengok trend sebelum ini juga, kira-kira 95 peratus pelaburan NCER adalah berasaskan sektor E&E dan sektor pembuatan,” katanya.
Beliau berkata, daripada pelaburan dalam sektor pembuatan itu, 18 peratus adalah dalam sektor semikonduktor, sekali gus menjadikan E&E dan semikonduktor antara tumpuan utama NCER.
“Sejumlah 18 peratus daripada pelaburan dalam sektor pembuatan adalah semikonduktor. Jadi, kita melihat kepada E&E dan semikonduktor pada asasnya,” katanya.
Jelasnya, tumpuan terhadap E&E dan semikonduktor tidak bermakna sektor lain diketepikan, sebaliknya ruang dan potensi bagi sektor lain untuk menyumbang kepada pertumbuhan pelaburan masih terbuka luas.
Beliau berkata, antara kawasan yang turut mempunyai potensi ialah Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP), selain kawasan industri di Perlis, manakala semikonduktor kekal antara tarikan utama pelaburan.
Bagi memperkukuh bakat tempatan, NCER memberi tumpuan kepada kerjasama dengan universiti tempatan, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan industri, termasuk sasaran melatih 10,000 bakat dalam tempoh empat tahun akan datang serta melahirkan 8,000 bakat melalui Pusat Inovasi Teknologi NCER.