KUALA LUMPUR: Aktiviti projek tenaga boleh baharu (TBB) Malaysia dijangka kembali rancak pada separuh kedua 2026, didorong kerja pembinaan yang sedang berjalan serta pelaksanaan projek baharu dalam perancangan.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, pemberian kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) menjadi sederhana pada separuh pertama tahun ini apabila pemaju mengambil pendekatan berhati-hati susulan ketidaktentuan geopolitik dan turun naik harga bahan mentah.
Bagaimanapun, bank pelaburan itu berkata keadaan pasaran kini semakin baik, sekali gus membuka ruang kepada peningkatan aktiviti pembangunan projek TBB pada separuh kedua 2026.
“Pada masa hadapan, kami melihat perkembangan pesat pusat data di Malaysia sebagai pemacu utama untuk permintaan struktur bagi TBB,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut HLIB, peningkatan keperluan tenaga daripada industri pusat data dijangka menyokong pertumbuhan permintaan terhadap sumber tenaga bersih, sejajar dengan usaha syarikat global mengurangkan jejak karbon operasi mereka.
Bagaimanapun, HLIB berkata penggunaan Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) masih bergerak perlahan, sebahagian besarnya disebabkan Caj Akses Sistem (SAC) yang tinggi dan tidak menentu.
Katanya, kadar SAC ketika ini ditetapkan pada 20 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWh) untuk kuasa firm dan 40 sen/kWh bagi kuasa non firm, sekali gus mengehadkan daya tarikan komersial skim berkenaan.
HLIB berpandangan penambahbaikan kawal selia, khususnya melalui kajian semula SAC, diperlukan bagi menjadikan CRESS lebih mudah dibiayai serta meningkatkan kadar penggunaannya dalam kalangan pengguna korporat.
“Sehubungan itu, kami menjangkakan tumpuan kawal selia yang lebih besar pada separuh kedua 2026, dengan potensi rasionalisasi SAC berfungsi sebagai pemangkin utama yang boleh meningkatkan penilaian semula sektor ini,” katanya.
Sementara itu, HLIB kekal optimis terhadap prospek sektor TBB negara dan menjangkakan Malaysia berada di landasan untuk mencapai sasaran 32 peratus kapasiti terpasang TBB pada tahun ini.
Pencapaian itu akan menjadi asas kepada sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk meningkatkan kapasiti TBB kepada 35 peratus menjelang 2030 dan 70 peratus menjelang 2050.