Krisis bahan api global uji daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Impak sesuatu krisis sering sukar difahami sehingga kesannya benar-benar dirasai dalam kehidupan seharian, termasuk menjejaskan perbelanjaan isi rumah.

Situasi itu mula dirasai apabila sebuah syarikat pengedar bahan api utama di Malaysia baru-baru ini memaklumkan kemungkinan berlakunya kekurangan bekalan di beberapa stesen minyak kendaliannya.

Keadaan tersebut, ditambah dengan kenaikan harga barangan khususnya makanan akibat peningkatan kos diesel, mencetuskan kebimbangan terhadap kuasa beli rakyat sekiranya keadaan terus meruncing.

Kesan konflik Asia Barat kini bukan lagi terhad kepada kawasan tertentu, sebaliknya memberi impak meluas termasuk kepada ekonomi domestik dan kehidupan harian rakyat.

Meskipun sukar diterima, kesan konflik itu semakin ketara dan memberi tekanan kepada pelbagai aspek ekonomi.

Pada masa sama, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengumumkan ekonomi global kini berdepan tekanan baharu susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran.

Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, berkata perang tersebut mencetuskan kejutan bekalan global yang tidak sekata, sekali gus menjejaskan aliran tenaga, meningkatkan harga dan memberi tekanan kepada rantaian bekalan dunia.

IMF turut menjangkakan keperluan bantuan kewangan sehingga AS$50 bilion bagi membantu negara-negara rentan menghadapi kesan krisis berkenaan.

Institusi itu juga dijangka menyemak turun unjuran pertumbuhan global dalam laporan akan datang, satu perkembangan yang kurang memberangsangkan khususnya bagi negara berorientasikan eksport seperti Malaysia.

Pada Januari lalu, IMF mengunjurkan pertumbuhan ekonomi global sebanyak 3.3 peratus bagi 2026, dengan zon euro diunjur berkembang 1.3 peratus manakala Amerika Syarikat sebanyak 2.4 peratus.

Di peringkat domestik, harga bahan api yang terus disubsidi turut memberi tekanan kepada kedudukan fiskal kerajaan.

Kementerian Kewangan memaklumkan harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter, manakala harga tanpa subsidi meningkat kepada RM4.27 seliter, menunjukkan kadar subsidi melebihi 50 peratus.

Sebagai contoh, bagi penggunaan 30 liter RON95, kos sebenar tanpa subsidi mencecah RM128.10, namun pengguna hanya membayar RM59.70 dengan baki ditanggung kerajaan.

Bagi diesel pula, harga tanpa subsidi di Semenanjung Malaysia meningkat kepada RM6.72 seliter, manakala harga bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

Kenaikan mendadak ini di luar jangkaan ramai rakyat yang selama ini menikmati harga bahan api relatif rendah.

Dalam masa sama, walaupun sektor perbankan kekal kukuh dan ekonomi domestik masih berdaya tahan, konflik berpanjangan dijangka memaksa kerajaan menilai semula perbelanjaan, khususnya subsidi yang meningkat ketara.

Perbelanjaan subsidi dianggarkan melonjak kepada RM6 bilion sebulan berbanding sekitar RM700 juta sebelum konflik memuncak.

Situasi ini menunjukkan bahawa dasar ekonomi yang kukuh sekali pun boleh terjejas akibat kejutan luaran.

Sehubungan itu, pengguna perlu lebih berhemah dalam perbelanjaan harian serta merancang penggunaan bahan api dengan lebih teliti.

Walaupun gesaan berjimat cermat sering dianggap klise, hakikatnya langkah tersebut penting dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa.

Krisis ini juga berpunca daripada pelbagai faktor termasuk ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan konflik berlarutan yang menjejaskan kestabilan tenaga global.

Keadaan menjadi lebih mencabar apabila dunia masih dalam proses pemulihan daripada kesan pandemik COVID-19 serta perubahan dasar perdagangan global.

Dalam konteks ini, penyelesaian konflik dilihat sukar dicapai dalam masa terdekat berikutan kepentingan geopolitik yang kompleks.

Namun, sejarah menunjukkan setiap krisis mempunyai jalan penyelesaian, walaupun memerlukan masa.

Sementara itu, pendekatan kerjasama antara kerajaan dan rakyat amat penting dalam memastikan daya tahan ekonomi negara terus kukuh.

Kerajaan perlu memastikan komunikasi yang telus serta dasar yang responsif, manakala rakyat memainkan peranan melalui perbelanjaan berhemah.

Krisis bahan api ini menjadi peringatan bahawa dalam era globalisasi, kejutan luaran boleh memberi kesan langsung kepada ekonomi domestik.

Oleh itu, usaha kolektif antara semua pihak menjadi kunci dalam memastikan Malaysia terus berdaya tahan menghadapi cabaran global.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2026/04/1532660/krisis-bahan-api-global-uji-daya-tahan-ekonomi