KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran Malaysia kekal pada 2.9 peratus pada Februari 2026 dengan bilangan penganggur menurun kepada 506,800 orang berbanding bulan sebelumnya, mencerminkan pasaran buruh yang terus stabil.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kedudukan ekonomi Malaysia secara keseluruhan pada Februari 2026 kekal berdaya tahan, disokong oleh permintaan domestik yang stabil serta pengembangan berterusan dalam sektor perkhidmatan dan aktiviti berkaitan pelaburan.
“Kedudukan ekonomi ini turut dicerminkan oleh pasaran buruh yang kekal stabil di samping memperlihatkan isyarat awal berlakunya penyesuaian struktur secara beransur-ansur.
“Sehubungan itu, tenaga buruh pada bulan tersebut terus mencatatkan peningkatan, naik 0.1 peratus kepada 17.3 juta orang berbanding 17.28 juta orang bulan sebelumnya.
“Kadar penyertaan tenaga buruh Februari kekal pada 70.9 peratus, tidak berubah daripada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.
Beliau menambah, bilangan penduduk bekerja turut mencatat peningkatan kecil sebanyak 0.1 peratus kepada 16.79 juta orang berbanding 16.77 juta pada bulan sebelumnya.
“Dari segi sektor, guna tenaga dalam sektor perkhidmatan terus berkembang dengan aktiviti perdagangan borong dan runcit kekal sebagai penyumbang utama, diikuti penginapan serta makanan dan minuman, selain maklumat dan komunikasi.
“Sektor pertanian, pembuatan dan pembinaan juga merekodkan pertambahan guna tenaga, manakala perlombongan dan pengkuarian mencatatkan penurunan.
“Dalam masa sama, bilangan individu bekerja kurang daripada 30 jam seminggu menurun 0.9 peratus kepada 240,400 orang, manakala guna tenaga tidak penuh berkaitan masa turut susut 2.1 peratus kepada 130,700 orang,” katanya.
Bagi kumpulan belia, kadar pengangguran umur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.2 peratus, manakala bagi umur 15 hingga 30 tahun tidak berubah pada 6.2 peratus.
Sementara itu, bilangan luar tenaga buruh turun sedikit kepada 7.10 juta orang, dengan sebab utama adalah tanggungjawab keluarga serta mengikuti pendidikan atau latihan.
Mengulas prospek, Mohd Uzir menjangkakan pasaran buruh kekal stabil dalam tempoh terdekat, namun pertumbuhan dijangka lebih sederhana dan bergantung kepada perkembangan ekonomi semasa termasuk faktor luaran seperti krisis tenaga global.