KUALA LUMPUR: Peralihan landskap kewangan dan geopolitik global susulan kemerosotan dominasi Amerika Syarikat (AS) membuka peluang baharu kepada ekonomi pesat membangun, termasuk Malaysia.
Menurut nota penyelidikan terbaharu BIMB Securities Research, perkembangan itu memberi impak langsung terhadap corak pelaburan antarabangsa, khususnya dalam kalangan pengurus dana global.
Penganalisis BIMB Securities, berkata Malaysia sebagai antara destinasi strategik bagi kepelbagaian portfolio pendapatan tetap dalam persekitaran semasa.
“Malaysia adalah alternatif yang sempurna,” menurut nota penyelidikan itu yang turut menasihati pelabur supaya mengurangkan pendedahan kepada bon Perbendaharaan AS jangka panjang.
Peralihan daripada sistem unipolar kepada landskap multipolar mendorong pengurus rizab global menilai semula kebergantungan terhadap instrumen kewangan tradisional yang selama ini didominasi oleh AS.
Sehubungan itu, BIMB Securities Research mengesyorkan pelabur mengurangkan tumpuan kepada dolar AS dan beralih kepada mata wang Asia terpilih.
Dalam konteks ini, Malaysia dilihat memiliki asas makroekonomi yang kukuh, sekali gus berpotensi menarik aliran masuk dana global.
Selain pasaran bon dan mata wang, pasaran ekuiti ASEAN turut dijangka mendapat manfaat daripada penyusunan semula rantaian bekalan global yang sedang berlaku.
Pada masa sama, status dolar AS sebagai mata wang rizab utama dunia dilihat semakin terhakis, dengan bahagiannya menurun kepada kira-kira 57 peratus berbanding sekitar 85 peratus pada era 1970-an.
Dalam persekitaran tidak menentu, pakar pelaburan turut menyarankan pemegang aset mengekalkan pendedahan lebih tinggi kepada komoditi tenaga serta instrumen selamat seperti emas.
Emas terus berperanan sebagai pelindung nilai sistemik, manakala harga minyak mentah dijangka kekal disokong premium geopolitik selagi risiko terhadap laluan perdagangan maritim global berterusan.
Secara keseluruhan, perkembangan global ini meletakkan Malaysia pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada aliran masuk modal ketika kuasa besar dunia berdepan cabaran mempertahankan dominasi masing-masing.