CIMB salur lebih RM4.2 bilion di seluruh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd menyalurkan lebih RM4.2 bilion di seluruh Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) bagi memajukan pelanggan serta masyarakat melalui pertumbuhan rentas sempadan dan pengembangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Daripada jumlah itu, hampir satu pertiga telah disalurkan kepada PKS, yang diterjemahkan kepada sokongan pembiayaan berjumlah RM1.15 bilion kepada PKS di seluruh zon berkenaan.

Kemajuan ini diketengahkan bersempena dengan Forward Future SME 2026, satu sesi yang dianjurkan bersama oleh CIMB dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA).

Sesi ini menandakan platform pertama seumpamanya yang khusus memfokuskan PKS di Johor, menghimpunkan PKS, pelabur, penggubal dasar serta rakan ekosistem, dan menarik hampir 220 peserta dari seluruh JS-SEZ dan Singapura.

“Forward Future SME 2026 mencerminkan komitmen kami bahawa PKS perlu diperkasakan bukan sahaja untuk berjaya di peringkat tempatan, tetapi juga untuk berkembang di peringkat serantau, berintegrasi ke dalam rantaian nilai serantau dan global, serta menyertai perdagangan dan pelaburan rentas sempadan dengan yakin,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Perbankan Komersial dan Transaksi Kumpulan, Ahmad Shazli Kamarulzaman.

Pada 2024, Johor mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM158 bilion, merangkumi 9.6 peratus daripada KDNK negara, sekali gus menjadikannya penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi Malaysia.

Melalui komitmen pembiayaan khusus berjumlah RM10 bilion serta kerjasama berterusan dengan pihak berkuasa pembangunan utama, CIMB terus memainkan peranan pemangkin dalam memajukan pertumbuhan yang mampan, inklusif dan rentas sempadan di seluruh JS-SEZ.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2026/02/1506326/cimb-salur-lebih-rm42-bilion-di-seluruh-zon-ekonomi-khas-johor