Penurunan harga RON95 ringankan kos sara hidup, pacu ekonomi – MIER

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menurunkan harga runcit RON95 kepada RM1.99 seliter akan membantu meringankan kos sara hidup rakyat di samping menyokong pertumbuhan ekonomi.

Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Mohd Effendi Norwawi, berkata kerajaan ketika ini sedang menangani salah satu kebimbangan utama rakyat, iaitu kos pengangkutan dan bahan api.

“Pertimbangan kerajaan seperti biasa, mereka akan lihat keperluan paling mendesak rakyat pada masa ini. Pada saya, mereka buat perkara yang betul dan mereka sedang memberi tumpuan ke arah itu,” katanya ditemui selepas menghadiri siri forum bertajuk ‘Menyusuri cermin masa hadapan: Ke arah menjamin keterjaminan makanan Malaysia untuk masa depan’ di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Effendi berkata, kerajaan akan cuba memberi sebanyak bantuan yang mampu tanpa menjejaskan keseluruhan belanjawan negara.

“Saya rasa ini soal imbangan bagi sesebuah kerajaan. Saya percaya mereka sedang lakukan yang terbaik. Sekurang-kurangnya, niat mereka memang baik,” katanya.PlayNextMute

“Langkah ini akan membantu ramai orang dengan mengurangkan kos pengangkutan. Pendapatan sebenar akan bertambah baik, dan ini sesuatu yang positif untuk rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada penurunan harga bahan api boleh menjejaskan belanjawan negara, Sulaiman berkata kesannya perlu dinilai secara menyeluruh.

“Sama ada ia satu kos atau manfaat, jika hasilnya baik untuk ekonomi, maka ia juga baik untuk belanjawan negara,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu lalu berkongsi beberapa inisiatif utama sebagai tanda penghargaan Kerajaan MADANI kepada rakyat seperti bayaran tunai kepada rakyat dewasa berjumlah RM2 bilion yang menjadikan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tahun ini meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion.

Tidak kurang menarik adalah penetapan harga RON95 serendah RM1.99 seliter yang lebih rendah daripada harga semasa RM2.05 seliter yang menjadi langkah awal pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar yang bakal diumumkan secara rasmi pada September depan.

Peruntukan program Jualan Rahmah MADANI turut ditingkatkan kepada RM600 juta, manakala kadar tol bagi 10 lebuh raya dikekalkan melibatkan perbelanjaan RM500 juta selain cuti tambahan pada 15 September bagi merancakkan pelancongan domestik.

Inisiatif terkini yang diumumkan Perdana Menteri di bawah tema Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia itu dianggarkan membabitkan kos fiskal kira-kira RM3.1 bilion, demikian menurut analisis oleh CIMB Investment Bank Bhd dan CIMB Securities.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2025/07/1424567/penurunan-harga-ron95-ringankan-kos-sara-hidup-pacu-ekonomi-mier