KUALA LUMPUR: Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang pada kadar 4.5 hingga 5.0 peratus tahun ini.
Pemangku Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim berkata, jangkaan itu berdasarkan sentimen positif ekonomi secara keseluruhan yang seiring dengan kerangka Ekonomi MADANI.
Beliau berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia tahun ke tahun meningkat kepada 5.1 peratus pada 2024, sejajar dengan unjuran bank itu iaitu antara 4.3 hingga 5.3 peratus.
“Pertumbuhan ini didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh dan disokong oleh keadaan pasaran buruh yang stabil, pelaburan yang teguh serta pemulihan perdagangan luar.
“Berdasarkan momentum positif ini, kami menjangkakan KDNK Malaysia bagi 2025 akan mencatatkan pertumbuhan antara 4.5 hingga 5.0 peratus,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi SME Bank, Lynette Lee Li Qing, berkata pertumbuhan KDNK pada 2025 akan terus didorong oleh perkembangan dalam sektor perkhidmatan.
Beliau berkata, sektor itu kekal sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dengan sokongan yang berterusan daripada subsektor berkaitan pengguna dan perniagaan.
Malah, katanya SME Bank turut kekal optimistik dengan unjuran perkembangan prestasi keseluruhan Malaysia pada tahun ini.
Menurutnya, ini adalah berdasarkan faktor luaran seperti pertumbuhan KDNK yang kurang pesat dalam kalangan rakan perdagangan utama, potensi tempoh perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang berlanjutan dan peningkatan dasar perlindungan global, ketidakstabilan konflik geopolitik serta pengeluaran dan harga komoditi yang lebih rendah berbanding anggaran asal.
“Unjuran pertumbuhan SME Bank bagi 2025 juga adalah selaras dengan unjuran terkini oleh tinjauan ekonomi Bank Dunia pada Januari 2025, yang menjangkakan pertumbuhan stabil pada 2.7 peratus bagi 2025 dan 2026.
“Sasaran itu adalah disokong oleh inflasi yang semakin stabil, harga komoditi yang lebih rendah, serta penurunan harga komoditi yang lebih rendah dan pelonggaran monetari merentasi ekonomi maju serta pasaran yang pesat membangun.
“Ekonomi utama ASEAN seperti Indonesia, Filipina, dan Vietnam dijangka mendapat manfaat daripada permintaan domestik yang kukuh, pelaburan infrastruktur dan perdagangan yang berkembang pesat,” katanya.
Bagi menyokong komitmen memperkasa ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS), SME Bank terus menyediakan sokongan pembiayaan dan melangkaui pembiayaan.
Bank juga terus diberi kepercayaan daripada kerajaan dengan program baharu dan sedia ada seperti mana yang dimandatkan dalam Belanjawan 2025 merentasi sektor strategik utama seperti Bumiputera, teknologi, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), halal dan pelancongan.
Sektor terbabit sebahagian daripada pemangkin untuk menyokong pemangkin serantau, seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi secara menyeluruh.
Sumber: BH Online