KUALA LUMPUR: Strategi pemisahan penuh antara portfolio pelaburan Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional menjadi antara tunjang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berupaya menawarkan kadar dividen tinggi 6.3 peratus tahun lalu.
Penganalisis ekonomi, Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan, berkata langkah pemisahan itu juga membolehkan pengurus dana persaraan ke-13 terbesar dunia dan kelima terbesar Asia itu menguruskan aset yang lebih khusus dan disesuaikan dengan prinsip masing-masing, selain meningkatkan kecekapan dalam alokasi aset serta strategi pelaburan, seterusnya memaksimumkan pulangan bagi kedua-dua simpanan.
Selain itu, katanya, prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh pada kadar 5.1 peratus dan kadar inflasi yang terkawal pada 1.8 peratus memberi keyakinan kepada pelabur serta menyokong prestasi pasaran kewangan.
“Dengan pemisahan penuh antara portfolio Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional pada 2024, KWSP dapat menguruskan aset Syariah secara lebih khusus dan strategik, di mana pendekatan ini membolehkan KWSP menyesuaikan strategi pelaburan yang lebih tepat dengan objektif, batasan Syariah dan berpotensi menawarkan pertumbuhan tinggi.
“Selain itu, KWSP telah meningkatkan usaha dalam mencari peluang pelaburan baharu yang patuh Syariah, termasuk dalam sektor teknologi dan pembuatan yang berkembang pesat.
“Faktor ini bersama-sama dengan strategi pelaburan yang berhemah dan kepelbagaian portfolio yang efektif, membolehkan KWSP memberikan dividen Simpanan Shariah yang setanding dengan Simpanan Konvensional pada 2024,” katanya kepada BH.
Awal bulan ini, KWSP mengumumkan kadar dividen 2024 yang lebih tinggi iaitu 6.30 peratus bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Shariah.
Kadar dividen bagi Simpanan Konvensional adalah daripada jumlah agihan sebanyak RM63.05 bilion; manakala bagi Simpanan Shariah, membabitkan agihan berjumlah RM10.19 bilion.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk tahun 2024 sebanyak RM73.24 bilion.
Mengulas lanjut, Mohamad Khair berkata, pulangan pelaburan aset patuh Syariah yang kompetitif tahun lalu adalah hasil daripada beberapa faktor utama iaitu strategi pelaburan KWSP yang memfokuskan kepada aset patuh Syariah berkualiti tinggi dan berpotensi pertumbuhan tinggi membolehkan pengurusan risiko yang lebih baik dan pulangan yang stabil.
Katanya, dengan mematuhi prinsip Syariah, KWSP memastikan pelaburan dalam sektor yang beretika dan berdaya tahan, yang menyumbang kepada kestabilan dan pertumbuhan jangka panjang.
“Tambahan pula, sektor tertentu yang mematuhi prinsip Syariah seperti teknologi dan pembuatan, menunjukkan prestasi cemerlang pada 2024. Pelaburan dalam sektor ini memberikan pulangan yang kompetitif, menyumbang kepada kadar dividen yang setanding antara Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional.
“Dengan strategi yang lebih disesuaikan dan fokus kepada sektor-sektor berpotensi tinggi, KWSP berjaya meningkatkan pulangan bagi aset Syariah, yang seterusnya menyumbang kepada kadar dividen yang kompetitif bagi Simpanan Shariah,” katanya.
Sumber: BH Online