Ringgit susut ke paras RM4.46, tekanan perang dagang meningkat

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap perang dagangan global, sekali gus menjejaskan sentimen pasaran.

Presiden AS, Donald Trump pada Khamis mengesahkan pelaksanaan tarif 25 peratus ke atas barangan import dari Mexico dan Kanada yang akan berkuat kuasa Selasa depan, selain tambahan cukai 10 peratus ke atas import dari China.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.4600/4650 berbanding 4.4410/4480 ketika ditutup semalam.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit telah melepasi paras sokongan segera RM4.45 hari ini.

“Selain kebimbangan terhadap perang dagangan, pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) juga cenderung untuk mengekalkan kadar faedah semasa, yang memberi tekanan tambahan kepada mata wang pasaran sedang membangun termasuk ringgit,” katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6174/6237 daripada 5.6303/6392, serta meningkat berbanding euro kepada 4.6362/6414 daripada 4.6559/6633. Namun, ringgit sedikit susut berbanding yen Jepun kepada 2.9682/9717 daripada 2.9634/9683.

Ringgit turut menunjukkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN. Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3069/3108 daripada 3.3122/3177, meningkat berbanding baht Thai kepada 13.0455/0670 daripada 13.0964/1240, serta naik berbanding rupiah Indonesia kepada 268.7/269.1 daripada 269.8/270.4.

Namun, ringgit melemah berbanding peso Filipina kepada 7.69/7.70 daripada 7.67/7.69.

— BERNAMA

Sumber: BH Online