Johor yakin muncul antara tiga negeri terima pelaburan asing terbesar

JOHOR BAHRU: Johor yakin akan berada dalam tiga kedudukan teratas dari segi nilai pelaburan langsung asing (FDI) yang bakal diumumkan Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam masa terdekat ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata keyakinan adalah susulan negeri itu terus melangkah ke hadapan sebagai destinasi pelaburan pilihan di negara ini.

“Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kini bukan lagi sekadar perancangan, tetapi sedang berkembang sebagai realiti yang semakin membuahkan hasil.

“Dengan sokongan kukuh daripada pelabur dan kerjasama erat semua pihak, saya yakin Johor berada di landasan yang kukuh untuk menjadi kuasa ekonomi serantau.

“Semoga pelaburan ini terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Johor dan membuka lebih banyak peluang untuk kemajuan dan kemakmuran bersama. Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan.

Oktober lalu, Johor dilaporkan merekodkan nilai pelaburan komited sebanyak RM12.936 bilion sehingga suku kedua tahun 2024 merangkumi RM7.972 bilion FDI dan RM4.964 bilion kadar pelaburan langsung domestik (DDI).

Daripada jumlah berkenaan, sektor perkhidmatan mencatatkan RM6.909 bilion manakala sektor perkilangan telah menyumbang pelaburan komited sebanyak RM6.027 bilion sekali gus menyerlahkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan unggul di rantau ini.

Sebelum ini, Johor dilaporkan mencatatkan FDI berjumlah RM31 bilion pada 2023 dengan sebahagian besarnya dipacu oleh sektor perkhidmatan.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, beliau berkongsi perkembangan JS-SEZ di hadapan lebih 300 pelabur berpotensi dari Singapura, Perancis, Jerman dan Malaysia.

Katanya, forum perniagaan itu telah dianjurkan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan UOB Malaysia itu bukan sekadar sesi penerangan, tetapi pencapaian penting selepas pemeteraian perjanjian JS-SEZ, sekali gus menandakan fasa seterusnya dalam usaha untuk merealisasikan zon ekonomi khas berkenaan.

“Sebagai salah satu platform utama untuk melakukan semakan dan menilai komitmen kerajaan terhadap pelaksanaan JS-SEZ, forum ini memperlihatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Johor sebagai hab pelaburan berdaya saing.

“Pelaburan strategik yang dibincangkan bukan sahaja akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, malah turut menyumbang kepada pembangunan infrastruktur dan peningkatan ekonomi negeri.

“Antara inisiatif utama dalam menjayakan agenda ini adalah pembukaan pejabat Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J), yang berfungsi sebagai platform penting untuk memperkasa perniagaan dan memudahkan urusan pelaburan rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan Johor Talent Development Council (JTDC) juga menunjukkan komitmen Johor untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang dapat memenuhi permintaan industri masa depan.

Sumber: BH Online