KUALA LUMPUR: Pengalihan aliran perdagangan disebabkan kesan tarif Amerika Syarikat (AS) dijangka meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan pelabuhan dan logistik Malaysia.
CIMB Securities dalam satu laporan penyelidikan pasaran berkata, peluang itu diramalkan muncul apabila syarikat-syarikat mengubah laluan penghantaran bagi mengelakkan tarif AS.
Selain itu, ia berkata keperluan untuk konfigurasi rantaian bekalan baharu telah mendorong pelaburan dalam sektor pembuatan Malaysia, terutamanya dalam industri elektronik dan teknologi tinggi.
“Perubahan dinamik perdagangan global ini juga memberi kesan besar terhadap pasaran saham Malaysia dan sentimen pelabur.
“Pelaksanaan tarif telah mewujudkan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global, yang memberi kesan kepada keyakinan pelabur,” kata firma pembrokeran itu dalam laporan yang disediakan oleh penganalisis, Redza Rahman dan Zafri Zulkeffeli.
CIMB Securities berkata, dengan tarif sebanyak 25 peratus ke atas import dari Mexico dan Kanada serta 10 peratus ke atas import dari China, dasar AS bertujuan untuk menangani isu keselamatan negara serta merangsang pertumbuhan ekonomi domestik negara maju itu.
Namun, kesannya melangkaui sekadar pelarasan perdagangan, dengan beberapa implikasi positif dan negatif terhadap ekonomi serta beberapa sektor kekal neutral, katanya.
“Tarif AS itu telah mengganggu rantaian bekalan global, memaksa syarikat untuk menilai semula strategi sumber dan pengeluaran mereka.
“Syarikat multinasional yang sebelum ini sangat bergantung kepada China kini mencari hab pembuatan alternatif bagi mengurangkan risiko sekatan perdagangan yang berterusan,” katanya.
CIMB Securities berkata, Malaysia muncul sebagai destinasi pilihan kerana persekitaran politiknya yang stabil, infrastruktur yang kukuh, dan lokasi geografi yang strategik.
Katanya, strategi China+1 yang menggalakkan firma untuk mempelbagaikan pangkalan pengeluaran mereka di luar China turut mempercepatkan trend itu.
“Selain itu, tarif ini berkemungkinan mendorong pelarasan harga di pasaran global. Pengilang China yang berdepan kos lebih tinggi di pasaran AS mungkin cuba mengimbangi kerugian dengan meningkatkan eksport ke rantau lain, termasuk ASEAN.
“Peralihan ini boleh mencipta tekanan harga yang kompetitif bagi pengeksport Malaysia tetapi pada masa yang sama membuka peluang untuk Malaysia memperoleh bahagian yang lebih besar dalam aliran perdagangan global,” katanya.
Sumber: BH Online