Hab Tenaga Minyak dan Gas RM8.88 bilion dibina di Sabah

KOTA KINABALU: Sabah bakal menjadi simpanan hadapan minyak dan gas kepada pengeluar bahan api itu di Asia Barat menerusi Projek Hab Tenaga Minyak dan Gas bernilai RM8.88 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), di sini.

Projek itu dilaksanakan Perbadanan Pembangunan Minyak dan Gas Sabah (SOGDC) selaku pengurus SOGIP, menerusi usaha sama dengan sebuah syarikat antarabangsa berkaitan maritim dan tenaga, Gibson Shipbrokers Limited.

Pengerusi Perbadanan SOGDC, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata projek bernilai tinggi itu mampu meletakkan Sabah sebagai pembekal minyak dan gas yang strategik bagi di Asia Tenggara dan Asia keseluruhannya, khususnya Asia Timur.

Katanya, dengan siapnya kemudahan itu dalam tempoh tiga tahun dari sekarang, negara seperti China, Jepun dan Korea Selatan tidak perlu lagi menunggu lama penghantaran minyak dan gas dari Asia Barat.

“Ada banyak komponen pelaburan yang kita sebut dan saya rasa jumlahnya sekitar lebih kurang USD2 billion. Projek ini sangat menarik kerana ia akan meletakkan Sabah sebagai simpanan hadapan, kalau itu yang saya boleh katakan, bagi pengeluar besar minyak dan gas di Asia Barat.

“Jadi, kalau mereka jual minyak dan gas ke China, Jepun atau Korea Selatan, tidak payah lagi tunggu minyak datang dari Asia Barat, hanya ke Sabah saja. Ia menjimatkan masa dan kos pengangkutan ke negara terbabit,” katanya, ditemui pemberita selepas pelancaran projek terbabit oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, di sini, hari ini.

Projek itu yang dibangunkan mulai tahun ini merangkumi dua fasa termasuk pembinaan kemudahan simpanan minyak dan gas serta pelabuhan yang akan dikendalikan sendiri oleh SOGDC bagi menyokong aktiviti perdagangan dan pengangkutan tenaga.

Abdul Rahman berkata, kemudahan yang dibangunkan di SOGIP itu lebih menjimatkan kepada syarikat minyak dan gas dari luar berbanding yang ditawarkan di Singapura dan Pengerang, Johor.

Sementara itu, Hajiji menyifatkan projek itu bakal memainkan peranan penting dalam strategi perindustrian dan tenaga di Malaysia, khususnya menjadikan Sabah sebagai hab penting sektor tenaga di Asia Tenggara.

“SOGIP akan menjadi penentu untuk pertumbuhan sektor tenaga yang sangat penting kepada pertumbuhan mapan ekonomi Sabah.

“Lebih penting lagi, projek ini akan membuka banyak peluang kerjasama, inovasi dan pembangunan sektor minyak, gas dan tenaga yang akan memberi manfaat kepada industri dan komuniti tempatan,” katanya.

Projek itu turut disasar membuka banyak peluang pekerjaan dengan keutamaan kepada rakyat Sabah untuk mengisi 80 peratus tenaga kerja yang diperlukan dalam proses pembangunannya nanti.

Sumber: BH Online