KUALA LUMPUR: Kejayaan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 bergantung kepada tiga faktor utama iaitu tempoh masa, penetapan harga dan naratif pelaksanaan, demikian menurut Bank Dunia.
Ketua Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi, berkata dari segi tempoh masa bagi melaksanakannya, ia membabitkan pergerakan harga minyak global.
Beliau berkata, berdasarkan perkembangan pergerakan harga minyak dunia pada masa ini, harga komoditi itu meningkat berikutan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat ketika ini.
Katanya, faktor berikutnya iaitu mengenai penetapan harga pula, pihaknya berpendapat adalah lebih baik ia dilaksanakan secara berperingkat.
“Seterusnya, paling utama ialah adalah naratif (manfaat pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95) terutama sokongan daripada kumpulan berpendapatan pertengahan memandangkan golongan itu akan terkesan susulan pembaharuan RON95,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan laporan Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik (EAP) Oktober 2024 dan Bahagian 1 Pemantau Ekonomi Malaysia (MEM) Oktober 2024, di sini, hari ini.
Apurva berkata, pihaknya menjangkakan kumpulan T10 dan T20 mampu mendepani impak pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95.
Manakala bagi kumpulan B20 dan B30, beliau menjelaskan, sekiranya pelaksanaan pembaharuan itu disertai mekanisme yang mengimbangi kesan terhadap kumpulan pendapatan berkenaan, sudah pasti mereka mampu menghadapinya.
“Oleh itu, adalah penting untuk menyampaikan naratif bagaimana pembaharuan RON95 memberi kesan kepada mereka dan menekankan potensi untuk faedah jangka panjang, walaupun perit dalam jangka pendek adalah kritikal,” katanya.
Mengenai pelaksanaan rasionalisasi diesel, Apurva berkata, pihaknya melihat pelaksanaan rasionalisasi subsidi itu setakat ini menunjukkan tanda awal kejayaan.
Beliau berkata, pelaksanaannya memperlihatkan pengurangan aktiviti penyeludupan di sempadan serta peningkatan penggunaan diesel komersil oleh sektor perindustrian berbanding diesel runcit bersubsidi.
“Ini semua adalah tanda positif. Namun, ia benar-benar kes perintis dalam beberapa cara, dan menetapkan peringkat selanjutnya bagi pembaharuan RON95,” katanya.
Sumber: BH Online