Inflasi rendah dijangka kekal sehingga separuh pertama 2024

KUALA LUMPUR: Tekanan inflasi yang rendah dijangka kekal sehingga separuh pertama 2024 meskipun Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Februari meningkat melebihi jangkaan selepas stabil selama tiga bulan berturut-turut.

Penganalisis BIMB Securities Research, Amiratul Husna, berkata selepas stabil pada 1.5 peratus dalam tiga bulan berturut-turut, inflasi keseluruhan meningkat kepada 1.8 peratus pada Februari 2024 berikutan impak tarif air baharu dan peningkatan perbelanjaan ketika Tahun Baharu Cina.

Namun, beliau berkata, firma penyelidikan itu menjangkakan pengurangan beransur-ansur kesan pelepasan kos berikutan kos inflasi sederhana sejajar dengan trend keredaan dalam IHP.

“Kami menjangkakan tekanan inflasi rendah berterusan sehingga separuh pertama 2024, didorong kemajuan rantaian bekalan domestik, kadar faedah stabil dan normalisasi harga komoditi global,” katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Amiratul berkata, tanpa mengira trend keredaan inflasi Malaysia, BIMB Securities menjangkakan peningkatan tekanan rantaian bekalan global daripada ketegangan Laut Merah yang berterusan kepada potensi peningkatan inflasi makanan berikutan pergantungan Malaysia kepada import makanan.

“Krisis keselamatan Laut Merah dijangka menjejaskan rantaian bekalan global pada 2024, terutamanya memberi kesan kepada laluan perkapalan Asia-Eropah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, aliran penurunan dalam Indeks Harga Pengeluar (IHPR) dikaitkan kepada harga komoditi dan barang pengantara yang normal telah menyumbang kepada deflasi dalam IHPR dan pengurangan harga bagi barangan siap.

Katanya, BIMB Securities masih mengekalkan unjuran IHP bagi 2024 pada 2.7 peratus dengan risiko bagaimanapun lebih cenderung kepada peningkatan.

“Jangkaan 2.7 peratus kami dibuat selepas mempertimbangkan kenaikan cukai perkhidmatan sebanyak dua peratus mulai Mac 2024 tetapi tidak termasuk perubahan dasar harga domestik yang lain seperti rasionalisasi subsidi dan mekanisme gaji progresif.

“Tahap risiko peningkatan akan bergantung kepada pelaksanaan semakan semula dasar, yang berpotensi dilaksana pada separuh kedua 2024,” katanya.

Amiratul berkata, walaupun pelarasan cukai dan perubahan tarif utiliti mungkin mempunyai sedikit kesan, ia tidak dijangka menjadi faktor besar yang mendorong inflasi keseluruhan.

Katanya, BIMB Securities menjangkakan bahawa kesan rasionalisasi subsidi bahan api akan memberi kesan kepada inflasi separuh kedua tahun ini.

“Pengenalan subsidi bahan api yang disasarkan boleh membawa kepada harga bahan api runcit yang lebih tinggi, manakala pelaksanaan model gaji progresif mungkin memberi kesan kepada kadar inflasi pada separuh kedua 2024,” katanya.

Sumber: BH Online