KANGAR: Industri pembuatan semikonduktor dilihat mempunyai potensi yang besar dalam menjana pelaburan kepada negeri Perlis.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong, berkata pihaknya melihat bahawa potensi ke arah usaha itu adalah menerusi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang melahirkan ramai pelajar Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik dan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik kampus itu untuk memajukan bidang pembuatan semikonduktor.
“Saya dibawa melawat ke UniMAP dan teruja melihat keupayaan kampus itu dalam usaha teknologi pembuatan semikonduktor menerusi daya pelajarnya dari dua fakulti itu yang dianggarkan lebih 5,000 penuntut.
“Jumlah pelajar itu adalah paling ramai dalam melahirkan (tenaga mahir) pembuatan semikonduktor di negara ini dan keduanya, saya lihat sudah ada kolaborasi negeri inidi Kawasan Perindustrian Lembah Chuping bersama syarikat semikonduktor di Pulau Pinang dan Kulim dalam teknologi pembuatan industri itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar Perlis di Kompleks Kerajaan Negeri Perlis di Persiaran Wawasan, di sini hari ini.
Turut hadir adalah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Chin Tong berkata, dengan kerjasama berkenaan terutama dari sudut kepakaran tenaga mahir, Perlis mampu dan berpotensi besar untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta pelaburan besar dan industri semikonduktor.
“Malah, kita di MITI juga sedia bekerjasama dengan setiap kerajaan negeri di negara ini dengan memberi bantuan tanpa mengira fahaman politik.
“Disebabkan apabila pelaburan di setiap negeri ini membangun maka ia turut membawa kepada peningkatan pelaburan kepada negara juga,” katanya.
Terdahulu, Chin Tong meluangkan masa sekitar satu jam mendengar taklimat selain bertukar pandangan dari Mohd Shukri mengenai pelaburan di Perlis.
Sebelum itu, beliau juga turut menghadap Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebelum menyertai program di UniMAP.
Sumber: BH Online