OPR naik : Bank Negara tidak kejam – Gabenor

BANGI, Jumaat – Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke paras 3.00 peratus baru-baru ini bukan satu tindakan kejam oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, keputusan itu dibuat bagi mengawal inflasi daripada terus melonjak tinggi dan menjadi tidak terkawal.

Beliau berkata demikian pada sidang media prestasi ekonomi suku pertama 2023 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dalam pada itu, Nor Shamsiah menolak sebarang tanggapan bahawa kenaikan OPR telah menyebabkan peningkatan dalam jumlah kes muflis.

Beliau berkata, tiada angka untuk menyokong dakwaan sedemikian, sambil menambah pada hakikatnya, secara agregat, isi rumah terus memegang aset kewangan melebihi hutang yang membolehkan mereka menguruskan kos pinjaman yang lebih tinggi.

Tambah beliau, kenaikan OPR juga bukan untuk menguntungkan bank, sebaliknya setiap keputusan antaranya adalah untuk memastikan keyakinan pendeposit.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) adalah sebuah badan bebas, dan sebarang keputusan yang diambil tidak dipengaruhi oleh pihak luar.

Pada 3 Mei lalu, MPC BNM mengumumkan OPR meningkat 25 mata kepada 3.00 peratus.

Kenaikan OPR itu adalah pertama bagi tahun ini selepas penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu telah dikekalkan pada Januari dan Mac lalu pada paras 2.75 peratus.